UJIAN Covid-19 akan ditawarkan kepada lebih ramai pegerai, pekerja pembersihan dan pekerja penghantaran makanan bagi memberi gambaran lebih baik tentang jangkitan virus itu di kalangan penduduk dan supaya pembendungan awal dapat dilakukan sekiranya terdapat penularan.
Ini menyusuli inisiatif yang dimulakan di Marine Parade pada 19 dan 20 September oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Agensi Makanan Singapura (SFA), dan Enterprise Singapore (ESG), di mana ujian swab Covid-19 sukarela dijalankan ke atas lebih 750 pegerai, penolong gerai dan pekerja pembersihan di tiga pasar dan pusat penjaja serta tujuh kedai kopi, dan juga pekerja penghantaran makanan yang beroperasi di kawasan itu. Mereka semua disahkan negatif, kata NEA, SFA dan ESG dalam satu kenyataan bersama pada Khamis (15 Okt).
Ujian itu kini diluaskan dan akan melibatkan lebih 2,200 pegerai, penolong gerai dan pekerja pembersihan di 11 pasar dan pusat penjaja, serta 82 kedai kopi di GRC Ang Mo Kio, SMC Kebun Baru dan Yio Chu Kang, serta pekerja penghantaran makanan yang beroperasi di kawasan itu.
Ujian akan dijalankan pada Khamis dan Jumaat di pusat pemeriksaan yang ditubuhkan dekat dengan pasar dan pusat penjaja.
Secara keseluruhan, lebih 45,000 pegerai, penolong mereka, pekerja pembersihan dan pekerja penghantaran makanan dijangka meraih manfaat daripada ujian itu.
Operasi pengujian itu akan dibawa ke bahagian lain Singapura, dan maklumat tentang jadual ujian serta lokasi pusat pemeriksaan akan diumumkan kelak.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg