UJIAN Covid-19 yang wajib akan dijalankan di Blok 113 Ang Mo Kio Avenue 4 pada Ahad (29 Ogos) setelah sembilan kes dikesan dalam lima isi rumah di blok itu.

Kementerian Kesihatan (MOH) berkata ia sedang menyiasat jangkitan Covid-19 yang mungkin berlaku di blok tersebut. Siasatan epidemiologi juga sedang dijalankan untuk menentukan kaitan dan sumber jangkitan.

Ujian akan berlangsung pada Ahad antara 9 pagi dan 4 petang di kolong blok. Ujian itu tidak diwajibkan bagi mereka yang telah menguji negatif Covid-19 dari 25 Ogos dan selanjutnya, kata kementerian itu.

Semua penduduk dinasihatkan untuk membawa kad pengenalan mereka ke tempat ujian itu.

Risalah telah diedarkan dan notifikasi SMS juga telah dihantar kepada penduduk untuk memberi mereka maklumat lanjut, kata MOH.

Kementerian itu juga mengingatkan penduduk untuk mengikut masa janji temu mereka.

Penduduk juga dinasihatkan untuk memantau kesihatan mereka dengan rapat dan segera berjumpa doktor sekiranya mereka berasa tidak sihat.

Mereka yang sedang menunggu keputusan ujian mereka dinasihatkan untuk mengurangkan interaksi sosial sebanyak mungkin.

Mereka juga harus terus memantau kesihatan mereka dan segera mendapatkan bantuan perubatan sekiranya mereka berasa tidak sihat.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti