Topik diikuti
Pergi ke BHkuUjian kesihatan jaya kesan masalah pada darah awal
Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan (MOH) membentangkan hasil dapatan Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NPHS) 2021. Pandemik yang melanda sepanjang dua tahun lalu menyebabkan bilangan orang yang mendapatkan ujian kesihatan serta menjalani kegiatan fizikal, berkurangan. Namun di sebalik hasil dapatan tinjauan itu, masih terdapat mereka yang peka akan kesihatan, lantas tidak memulaukan ujian kesihatan dan kekal aktif. BERITA HARIAN memaparkan kisah golongan ini.
Ujian kesihatan jaya kesan masalah pada darah awal
SEJAK 20 tahun lalu, Encik Sahat Hassan telah menjalani ujian kesihatan secara kerap sebagai satu langkah pengesanan dan pencegahan penyakit yang tidak diigini.
Ternyata langkah beliau berbuat demikian banyak memberi manfaat kepadanya yang kini sudah berusia 84 tahun.
Baru-baru ini, hasil lawatannya ke hospital bagi pemeriksaan kesihatannya itu mendapati "sedikit masalah" pada darahnya.
"Saya telah pun berikan darah untuk diuji dan selepas konsultasi, saya pun pulang.
"Namun semasa dalam perjalanan pulang dalam MRT, tiba-tiba saya terima panggilan telefon dari pihak hospital yang menggesa saya agar kembali ke hospital dengan segera," kata pesara guru itu lagi yang turut alami tekanan darah tinggi.
Menceritakan keadaan kesihatannya, Encik Sahat berkata beliau menghidap masalah anemia, yakni kekurangan sel darah merah dalam darah sejak 2016.
Anemia boleh menyebabkan kulit pucat terutama di bahagian tapak tangan, lidah dan sekeliling mata, sukar bernafas terutama selepas melakukan aktiviti, lesu, tidak bermaya dan pening.
Encik Sahat berkata sebab beliau dipanggil semula dan kemudian dimasukkan ke wad untuk beberapa hari adalah kerana doktor bimbang sekiranya beliau akan pengsan menyusuli hasil ujian kesihatan yang dilaluinya itu.
Encik Sahat jangka masalah anemia yang dialaminya itu timbul gara-gara terlalu mengawal pemakanan sehingga menjejas zat pemakanannya.
Kebetulan ketika itu beliau juga menghidap gout, tapi sudah pulih daripada masalah itu.
Menurutnya isterinya meninggal dunia pada Ogos 2018 akibat barah kolon.
"Padahal saya dikesan dengan masalah anemia lebih awal sebelum isteri dikesan barah," katanya,
Akibat masalah anemianya itu Encik Sahat telah beberapa kali dimasukkan ke hospital meskipun tidak pernah pengsan atau terjatuh meskipun kekurangan darah.
Semasa pandemik bermula, beliau terus mendapatkan pemeriksaan kesihatan seperti yang dijadualkan.
"Semasa jaga arwah isteri di rumah sebelum pandemik, saya sudah pun dapatkan pemeriksaan kesihatan, cuma saya kurang aktif semasa itu.
"Bila isteri dah meninggal, saya terus kembali aktif dan jalani pemeriksaan kesihatan, sehingga pandemik bermula," katanya.
Mujur kesedaran yang ada dalam dirinya itu membuat beliau terus menjalani pemeriksaan semasa pandemik melanda - dengan memakai pelitup setiap kali ke hospital.
Meskipun terdapat sekatan langkah pengurusan selamat pada ketika itu, Encik Sahat meneruskan kegiatan aktif dalam rumahnya.
"Selepas solat, saya cuba lari-lari anak dalam rumah dan lakukan regangan otot.
"Dan apabila sekatan keselamatan dilonggarkan saya pun kembali aktif dengan berbasikal, memancing atau berjalan kaki di sekeliling estet dekat rumah saya," ujarnya.
Pada masa yang sama bapa seorang anak itu terus memantau kesihatannya atas nasihat doktor yang berjumpanya setiap kali beliau jalani ujian kesihatan.
"Secara fizikal saya nampak sihat tapi dalam badan saya pun tak tahu, sebab itu ujian kesihatan penting buat saya dan warga senja lain," jelasnya lagi.
Hasil Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NPHS) 2021 menunjukkan bahawa penyertaan ujian penyakit kronik dalam kalangan masyarakat Melayu adalah yang terendah berbanding Cina dan India antara 2019 dengan 2021.
Masyarakat Melayu membentuk 48.3 peratus dalam kalangan penyertaan ujian penyakit kronik tahun lalu semasa pandemik Covid-19, berbanding kaum Cina (59.7 peratus) dan India (65.7 peratus).
Penyertaan ujian secara amnya berkurangan tahun lalu berbanding 2019, sebelum pandemik Covid-19.
Ini mungkin disebabkan penangguhan perkhidmatan yang tidak penting, termasuk perkhidmatan ujian, semasa pandemik.
Penyertaan dalam ujian penyakit kronik merosot daripada 66.3 peratus pada 2019 kepada 59.2 peratus tahun lalu, menurut kajian tersebut.
SEKILAS TINJAUAN
APA DIA:
Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NPHS) 2021
JUMLAH RESPONDEN:
Saiz sampel sekitar 8,000 warga dewasa setempat
BILA DIJALANKAN:
Antara Julai 2020 dengan Jun 2021 dan merupakan kajian yang dilakukan buat kali pertama semasa pandemik Covid-19
DAPATAN KAJIAN:
* Jumlah yang jalani pemeriksaan penyakit kronik susut kepada 59%, daripada 66%
* Penyertaan ujian bagi barah buah dada susut kepada 31.3%, daripada 38.7 peratus; barah serviks: 41% daripada 48.2%; dan barah kolorektal 36.6% daripada 42%.
* Warga senja 65-74 tahun yang dapatkan vaksinasi influenza naik kepada 32.4%, daripada 24.2%; vaksinasi perlindungan pneumokokal naik kepada 22.4%, daripada 10.3%
* Kadar penduduk bersedia dapatkan bantuan daripada karyawan penjagaan kesihatan untuk tangani tekanan naik kepada 58.3%, daripada 47.8%
* Mereka yang terlibat dalam kegiatan fizikal berintensiti sederhana - sekurang-kurangnya 150 minit seminggu - berkurangan kepada 71.1%, daripada 80.1%
* Kelaziman penduduk yang merokok setiap hari stabil kepada 10.4%, daripada 10.6%