Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ujian mingguan bagi pemandu bas cegah Covid-19

Langkah lain termasuk asingkan tempat makan, tempat rehat untuk kakitangan pusat pertukaran bas
Sep 3, 2021 | 5:30 AM
deb50742-8f9e-46c8-bda9-a56a4fdb4668
-

PARA pemandu bas dan kakitangan di pusat pertukaran bas akan menjalani pengujian rutin sekurang-kurangnya sekali seminggu manakala tempat makan dan rehat untuk mereka akan diasingkan.

Ini adalah sebahagian daripada langkah pengurusan selamat yang diperketatkan demi membendung penularan Covid-19, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Dalam pengumumannya semalam, LTA juga berkata peraturan lebih ketat akan dikenakan bagi ruang yang dikongsi di pusat pertukaran bas.

Misalnya, hanya seorang kakitangan dibenarkan duduk di satu meja di tempat makan sementara kantin tidak lagi dibuka kepada orang awam yang mahu makan di sana.

Langkah keselamatan dipertingkatkan ini diambil di tengah-tengah kelompok jangkitan Covid-19 semakin meningkat di lapan pusat pertukaran bas, dengan jumlah kes mencecah lebih 300 kes.

LTA menjelaskan sejumlah 284 kakitangan di barisan hadapan, termasuk pemandu bas, telah diuji positif dari Julai hingga 1 September. Ini merupakan kurang 3 peratus daripada 11,000 kakitangan barisan hadapan dalam sektor bas.

Bercakap dengan media semalam, Ketua Eksekutif LTA, Encik Ng Lang, berkata keselamatan pekerja pengangkutan awam diutamakan dan pendekatan memvaksin, menguji dan mengesan diambil demi memastikan keselamatan mereka.

"Sehingga kini, lebih 99 peratus daripada pekerja pengangkutan awam sudah menerima dos vaksin pertama dan lebih 95 peratus divaksin sepenuhnya. Apa yang berubah sekarang ialah ada lebih banyak kes Covid-19 dalam masyarakat dan varian ini lebih mudah dijangkiti," ujar beliau.

Kata Encik Ng, golongan ini juga merupakan anggota masyarakat serta terdedah kepada risiko jangkitan yang sama.

"Jika anda lihat rutin harian pemandu bas, misalnya, disebabkan masa memandu yang lama dan untuk bertahan, mereka perlu berehat di tempat rehat yang sewajarnya.

"Tetapi ini juga boleh menjadi tempat penyebaran virus, jika ada satu atau dua pemandu bas yang dijangkiti," terangnya.

Justeru, sehingga sekarang langkah pengurusan selamat dilaksanakan demi memastikan keselamatan mereka.

"Melangkah ke depan, sebagai langkah berjaga-jaga, kami akan memperketatkan lagi langkah ini," tambah Encik Ng.

Menurut LTA, langkah lain yang akan dilaksanakan termasuk semua pusat pertukaran bas akan dipasangkan dengan alat pembersih udara mulai minggu depan manakala ruang merokok akan mempunyai sekatan fizikal supaya perokok tidak boleh berinteraksi.

Kadar kekerapan membersih permukaan yang mempunyai kadar sentuhan yang tinggi juga akan ditingkatkan kepada setiap jam.

LTA menjelaskan bahawa semua kes yang dikesan di pusat pertukaran bas sejauh ini terbatas kepada pekerja dan segelintir anggota isi rumah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg