Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ujian mingguan dijadualkan buat pemandu bas awam bagi kekang penularan virus Covid-19

Sep 2, 2021 | 7:05 PM
Foto BH oleh ARIFFIN JAMAR
Foto BH oleh ARIFFIN JAMAR -

PEMANDU bas dan kakitangan yang mengendalikan kaunter perkhidmatan di pusat tukaran bas akan diperlukan menjalani ujian rutin sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu mulai sekarang, sebagai antara langkah diperketat mengurangkan jangkitan Covid-19.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Khamis (2 September) mengumumkan undang-undang lebih tegas bagi ruang perkongsian di pusat tukaran bas juga, di mana seorang kakitangan sahaja dibenarkan duduk di setiap meja di ruang makan. Kantin tidak lagi dibuka buat orang ramai makan walaupun mereka boleh membeli makanan di situ untuk dibawa pulang.

Kakitangan yang berehat di ruang makan di pusat tukaran bas akan juga diasingkan, bagi mengasingkan mereka yang mahu berehat dengan memakai pelitup daripada mereka yang sedang makan.

Langkah-langkah yang meliputi lebih 11,000 kakitangan barisan hadapan dalam sektor bas ini diperkenalkan di kala kelompok Covid-19 di lapan pusat tukaran bas setempat kian bertambah kesnya, mencecah 314 kes pada Rabu.

Menjelang minggu depan, semua pusat tukaran bas akan dipasang dengan pembersih udara. Ruang merokok juga akan mempunyai pengasing fizikal agar perokok tidak boleh lagi berinteraksi sesama sendiri.

Kekerapan membersihkan kawasan yang sering disentuh di ruang kakitangan akan juga ditambah sekali setiap jam.

Dalam satu taklimat mengenai kelompok ini, LTA berkata tiada impak besar terhadap operasi bas buat masa ini.

Namun, ia menambah akan ada rancangan luar jangka yang diperkenalkan bagi melanjutkan selang masa antara perkhidmatan bas, bermula dengan perjalanan bas dengan permintaan paling rendah jika kes dalam kelompok di pusat tukaran bas terus bertambah.

Ini boleh membawa pada masa menunggu lebih panjang buat pengguna, sesuatu yang sudah berlaku di pusat tukaran bas Jurong East. Akhbar The Straits Times difahamkan terdapat satu atau dua perkhidmatan bas yang sudah terjejas.

Dalam kalangan 314 kes Covid-19 berkaitan dengan pusat tukaran bas, 284 kes melibatkan pekerja barisan hadapan di pusat tukaran bas - pemandu dan kakitangan perkhidmatan - dengan baki yang lain merupakan anggota isi rumah mereka dan orang awam.

Akhbar The Straits Times juga difahamkan pihak berkuasa belum mengesahkan kaitan sahih antara kelompok pusat tukaran bas ini, kebanyakannya kerana persamaan profil virus antara pemandu bas dengan orang awam.

Tidak jelas bagaimana kakitangan khidmat bas pertama dijangkiti virus ini tetapi terdapat kaitan antara kakitangan bas di ruang yang dikongsi bersama ini.

Sejauh ini, 99 peratus kakitangan barisan hadapan dalam sektor bas ini sudah menerima satu dos vaksin. Sekitar 95 peratus pula telah tamat vaksinasi penuh.

Anggota Parlimen, Encik Melvin Yong, yang juga Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan, berkata mereka yang dijangkiti menampakkan tanda jangkitan yang ringan atau tiada tanda jangkitan langsung sejauh ini dan kian pulih dengan baik.

Pihak kesatuan akan terus berhubung dengan mereka dan juga pekerja yang sudah dikuarantin serta akan bekerjasama dengan LTA dan operator pengangkutan bagi mengekang penularan virus ini, katanya.

Sekitar separuh kakitangan khidmat bas yang diuji positif Covid-19 dikenal pasti menerusi ujian proaktif.

"Tiada yang jatuh sakit secara teruk," kata LTA, menyifatkannya sebagai hasil kadar vaksinasi yang tinggi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg