Sebelum sesebuah helikopter dapat berlepas untuk melaksanakan misi, juruterbang dan perancang misi perlu mengumpulkan serta menyelaraskan pelbagai maklumat.

Ini termasuk data bentuk muka bumi, ruang udara dan spesifikasi pesawat, sebelum menentukan laluan penerbangan yang sesuai.

Proses yang sebelum ini mengambil masa sekitar dua jam itu kini dapat disingkatkan kepada hanya 20 minit dengan bantuan Sistem Sokongan Keputusan Helikopter (Heli DSS).

Sistem itu, yang menggunakan kecerdasan buatan (AI), mengautomatikkan pengiraan kompleks yang sebelum ini dilakukan secara manual oleh perancang misi.

Berkongsi semasa sesi bertemu media di kawasan operasi Warriors Den, yang terletak berhampiran Lapangan Tebang Rockhampton, Queesland, Australia pada 25 Oktober, juruterbang helikopter Chinook CH-47F dari Skuadron 127 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), Mejar Daniel Soh, berkata sistem tersebut bukan sahaja mempercepat perancangan misi malah memberi lebih banyak masa kepada perancang misi untuk menumpukan perhatian kepada aspek penting lain termasuk persiapan menghadapi situasi yang tidak dijangka.

“Misalnya, sekiranya pesawat mengalami masalah atau keadaan cuaca berubah, sistem ini membolehkan perancang misi memberikan lebih tumpuan kepada persiapan menghadapi situasi di luar jangkaan atau kemungkinan yang boleh berlaku.

“Selain itu, ia juga membolehkan kami mengadakan taklimat yang lebih mendalam bagi memastikan kejayaan misi.

“Sudah tentu, sistem ini mengurangkan beban saya kerana pelan asas misi telah disediakan oleh Heli DSS. Perancang misi hanya perlu memperhalus dan menambah baik pelan tersebut,” kongsi beliau, yang telah menggunakan sistem itu untuk merancang dan melaksanakan lima misi sepanjang Latihan Wallaby (XWB) 2026.

Heli DSS bukan satu-satunya teknologi baharu yang sedang diuji oleh RSAF sempena latihan tahunan luar negara ini.

Satu lagi aplikasi, yang dikenali sebagai Bantuan Udara Rapat Berbantu Digital (DACAS), bertujuan meningkatkan penyelarasan antara pasukan udara dengan pasukan darat menerusi penghantaran maklumat secara digital, sekali gus membantu mempercepat pelaksaan misi Sokonga Udara Rapat (CAS).

Secara tradisi, misi CAS bergantung pada komunikasi suara melalui radio untuk menyampaikan maklumat antara pasukan darat dengan pesawat.

Menurut Ketua Projek DACAS, Mejar Shayne Tan, penghantaran maklumat secara digital membantu mempercepat proses tersebut, manakala ciri Penjejakan Pasukan Sahabat (Blue Force Tracking) membolehkan unit darat dan udara yang terlibat memantau kedudukan pasukan sahabat secara langsung.

“Maklumat seperti kedudukan pasukan sahabat, maklumat sasaran dan perubahan situasi taktikal perlu disampaikan secara lisan.

“Ini mengambil masa dan boleh terjejas akibat gangguan isyarat radio atau bunyi bising. Dengan DACAS pula, maklumat berkaitan dapat dihantar secara digital bagi mempercepat proses tersebut.

“Blue Force Tracking juga membolehkan unit darat dan udara yang terlibat mengekalkan kesedaran situasi yang lebih baik di kawasan operasi,” jelas beliau, yang juga Pegawai Staf di Pusat Perang Udara (AWC).

Bagi juruterbang helikopter Apache AH-64D, Leftenan (LTA) Tan Yao Bin, penghantaran maklumat secara digital dapat mengurangkan masa yang diperlukan untuk melaksanakan misi CAS kepada kira-kira separuh daripada tempoh asal.

CAS melibatkan kerahan aset serang seperti pesawat pejuang F-15SG dan F-16, serta helikopter Apache AH-64D, untuk memberikan sokongan tembakan kepada pasukan darat yang beroperasi berhampiran kedudukan musuh.

Menyentuh tentang status aplikasi tersebut dalam jangka masa panjang, pembangun aplikasi DACAS, Encik Adriel Chua, berkata maklum balas kru operasi amat penting dalam kitaran pembangunan perisian.

“Antara maklum balas yang kami terima daripada pengguna termasuk menjadikan aplikasi itu lebih mudah dibaca dan difahami secara visual, serta menyampaikan maklumat kepada juruterbang secara berperingkat dalam bahagian yang lebih kecil.

“Ini bukan versi muktamad kerana kami kerap melakukan pembangunan secara tangkas,” jelas beliau, yang juga Pengurus Program Kanan Sistem Darat Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA).