UJIAN dalam talian percuma akan dilancarkan untuk membantu pelajar dan pemandu kenderaan sedia ada membiasakan atau mendapatkan maklumat baru tentang peraturan lalu lintas jalan raya, papan tanda lalu lintas dan tingkah laku jalan yang sesuai.

Ujian Teori Simulasi atau MTT yang diumumkan oleh Trafik Polis (TP) semalam adalah sebahagian daripada usaha mereka untuk mendidik dan memaklumkan pemandu tentang keselamatan jalan raya.

Semasa satu sidang media pada Selasa, TP memaklumkan bahawa portal dalam talian itu akan tersedia pada separuh kedua Mac tahun ini.

Semua pemegang akaun SingPass boleh mengakses Ujian Teori tahap Asas, Akhir dan Teori Menunggang di MTT secara percuma.

MTT boleh diakses daripada laman web e-perkhidmatan Pasukan Polis Singapura (SPF), portal pembelajaran dalam talian TP atau aplikasi mudah alih Police@SG.

Tersedia dalam empat bahasa - Inggeris, Mandarin, Melayu dan Tamil - pengguna dapat melakukan ujian dalam bahasa pilihan mereka.

"Saya menggalakkan pemandu kenderaan sedia ada untuk mencubanya.

"Anda akan kagum dengan bagaimana sebahagian daripada undang-undang dan papan tanda telah berubah sejak anda belajar dan mengambil Ujian Teori Asas (BTT)," kata Komander Polis Trafik, Gerald Lim.