SEBUAH pintu simbolik, di kelilingi tumbuhan asli New Zealand, kini menyambut pengunjung di Cloud Forest, Gardens by the Bay.

Ukiran kuwaha Maori baru itu, bernama Tane Te Waiora, melambangkan persahabatan kukuh antara Singapura dengan New Zealand, dan telah dilancarkan oleh Perdana Menteri New Zealand, Cik Jacinda Ardern, dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, kelmarin.

Berukuran 3.2 meter tinggi dan 3.6 meter lebar, arca itu ditempah khas dan melambangkan sebuah pintu masuk simbolik.

Terdiri daripada tiga keping kayu totara dari Hutan Pureora di tengah North Island, arca itu dibuat daripada sebatang pokok yang dianggarkan berusia lebih 2,500 tahun, yang tumbang secara semula jadi di dalam hutan semasa ribut teruk.

Ukiran itu menggambarkan Tane, personifikasi matahari, dan Hina, personifikasi bulan, mengukuhkan kepentingan cahaya dalam budaya Maori.

"Ia adalah metafora untuk hubungan semula kami dengan Singapura, menunjukkan hasrat kami untuk mengukuhkan 'pintu' antara New Zealand dan Singapura, dan seluruh dunia," kata Cik Ardern mengenai ukiran itu.

"Kehadiran Hina, yang dilambangkan oleh bulan, dan Tane, yang dilambangkan oleh tanaman, pada kuwaha itu juga penting kerana ia melambangkan hubungan kepercayaan dan sifat timbal balik - ciri khusus hubungan New Zealand dengan Singapura."