Topik diikuti
Pergi ke BHkuUmat Islam S’pura diseru perkukuh perpaduan, hidupkan nilai akhlak mulia
Umat Islam S’pura diseru perkukuh perpaduan, hidupkan nilai akhlak mulia
Sempena Awal Muharam, Mufti dan Faishal tekan kepentingan pelihara keharmonian sosial demi hadapi cabaran dunia sejagat
Umat Islam S’pura diseru perkukuh perpaduan, hidupkan nilai akhlak mulia
Umat Islam di Singapura berkongsi tanggungjawab untuk menghayati nilai ihsan, saling hormat-menghormati dan integriti, di samping terus memperkukuh perpaduan di sini, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Dalam catatan Facebook pada 17 Jun sempena sambutan kalendar baharu Islam 1448 Hijrah atau Awal Muharam, beliau berkata ini boleh dicapai dengan mengamalkan akhlak mulia – merangkumi nilai murni seperti kejujuran, pegangan teguh pada prinsip moral dan ihsan.
Beliau menjelaskan: “Ia membentuk cara kita berinteraksi antara satu sama lain, membantu kita mengharungi perbezaan, serta mengukuhkan kepercayaan antara masyarakat berbilang kaum agar kita dapat hidup, bekerja dan maju bersama.”
Lantaran itu, Dr Faishal mengalu-alukan seruan Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, yang disampaikan dalam amanat Awal Muharam, untuk terus memelihara perpaduan dan keharmonian masyarakat, terutamanya dalam dunia yang semakin berpecah-belah.
Mufti, menerusi amanat terbitan Pejabat Mufti pada 16 Jun, menyeru agar umat Islam di sini memperbaharui komitmen terhadap keamanan, keharmonian dan perpaduan sosial di Singapura, terutamanya di tengah-tengah perpecahan sejagat.
Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), berkata: “Harapan dan doa saya, kita mengambil iktibar dari peringatan yang dikongsikan dan dijadikan panduan di bulan Muharam dan seterusnya.”
Awal dari itu, beliau menyertai sekitar 650 anggota jemaah di Masjid Al-Ansar di Bedok North bagi Majlis Fi Rihabi Rahmah anjuran Pejabat Mufti, pada 16 Jun.
Majlis itu dipimpin Mufti dengan tema Memupuk Maruah Insan Melalui Akhlak Mulia.
Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Mohamed Saat Abdul Rahman; Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen; dan Timbalan Mufti, Dr Izal Mustafa Kamar.
Dalam amanatnya, Mufti menggesa masyarakat Islam di sini untuk memperkukuhkan hubungan merentasi pelbagai latar belakang, budaya dan kepercayaan.
Ini selain menangani cabaran kontemporari dengan kebijaksanaan, ihsan dan nilai-nilai kukuh.
“Dunia kini berhadapan dengan pelbagai perkembangan dan cabaran baharu, termasuk kemajuan dalam kecerdasan buatan (AI), media sosial serta pemanasan sejagat dan perubahan iklim.
“Semuanya mempunyai kesan kepada ekonomi, pekerjaan dan kestabilan sosial. Ia boleh memanfaatkan kita, tetapi ia juga berpotensi membawa kemudaratan dan kerosakan jika tidak ditangani dengan cermat,” ujar Mufti.
Beliau menukil Piagam Madinah ketika ketibaan Nabi Muhammad saw dari kota Makkah ke Madinah, yang berteraskan kesejahteraan, keamanan dan kebaikan, kepada umat manusia sebagai satu contoh – nilai-nilai yang menjadi asas kehidupan bermasyarakat.
Dalam dunia hari ini yang penuh dengan pergolakan dan perpecahan, Mufti berkata ini menjejas kestabilan dan mutu kehidupan masyarakat.
“Perbezaan bukan lagi dianggap sebagai satu kelebihan positif yang mengukuhkan masyarakat, tetapi sebaliknya, melemahkan dan memecah-belahkan.
“Ia dijadikan alasan untuk permusuhan dan saling menaruh prasangka, serta membuka pintu kepada keganasan dan kekerasan terhadap golongan lemah dan tidak berdosa,” katanya.
Oleh demikian, beliau memberi peringatan keamanan dan keharmonian bukanlah sesuatu yang sepatutnya dipandang remeh atau sebagai satu kelebihan, kerana ia keperluan asas kehidupan manusia.
Mufti berkata: “Nikmat dan pencapaian membina masyarakat yang bersatu dan aman lagi damai perlu terus kita syukuri dan pertahankan.
“Lebih penting lagi, kita perlu memastikan nilai-nilai ini terus diwariskan kepada generasi akan datang agar Singapura kekal menjadi sebuah masyarakat yang aman, bersatu padu dan saling menghormati.”
