Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Undang-undang rampasan, perlindungan pesawat dipinda dek ancaman pengganasan

Feb 15, 2022 | 5:30 AM
19082315-0617-4216-86f3-6455df5e5669
-

EKORAN ancaman pengganasan terhadap penerbangan awam yang masih wujud walau lebih 20 tahun selepas serangan 9/11, Singapura akan meminda undang-undangnya agar ia sejajar dengan dua perjanjian antarabangsa yang dihasilkan berikutan serangan 11 September, 2011 di Amerika demi menyekat kejadian serupa.

Parlimen telah meluluskan pindaan ke atas Rang Undang-Undang Rampasan Pesawat dan Perlindungan Pesawat dan Lapangan Antarabangsa (Pindaan) semalam.

Di bawah undang-undang baru itu, adalah menjadi satu jenayah bagi penggunaan pesawat sebagai senjata, penggunaan senjata nuklear dan biokimia terhadap pesawat, pengangkutan bahan berbahaya dan serangan siber ke atas kemudahan navigasi udara.

Individu yang didapati bersalah di atas jenayah ini akan dipenjarakan seumur hidup.

Undang-undang itu juga mempertanggungjawabkan syarikat, dengan syarikat yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga $1 juta bagi kesalahan ini.

Selain itu adalah menjadi kesalahan untuk mengancam melakukan jenayah ini, jika ancaman itu tampak sah atau membantu orang lain mengelak siasatan, pendakwaan atau hukuman.

Jika didapati bersalah, mereka yang bersubahat boleh didenda sehingga $500,000, dipenjara sehingga tujuh tahun atau kededuanya.

Mereka yang didapati bersalah membuat ancaman pula boleh didenda sehingga $500,000, dipenjara sehingga 10 tahun atau kededuanya sekali.

Pindaan tersebut akan merintis jalan untuk Singapura mematuhi Konvensyen Menyekat Tindakan Melanggar Undang-undang berkaitan Penerbangan Awam Antarabangsa - juga dikenali sebagai Konvensyen Beijing 2010 - dan Protokol Tambahan kepada Konvensyen Penyekatan Perampasan Pesawat Melanggar Undang-undang atau dikenali sebagai Protokol Beijing 2010.

Perjanjian-perjanjian itu pertama kali dimeterai di Beijing pada 2010 dan berkuat kuasa pada 2018.

Buat masa ini terdapat 42 pihak dalam dua perjanjian itu, kata Setiausaha Parlimen Pengangkutan, Encik Baey Yam Keng.

Bercakap di Parlimen, Encik Baey berkata ancaman pengganasan terhadap Singapura kekal tinggi sedang kumpulan seperti IS di Iraq dan Syria serta Al-Qaeda kekal berdaya tahan.

Beliau memberi contoh serangan pengganasan terkini terhadap sektor penerbangan awam termasuk serangan dekat dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi awal tahun ini.

Menurut Encik Baey dengan mematuhi dua perjanjian Beijing itu, ia akan perkukuhkan keupayaan Singapura menangani ancaman berkaitan pengganasan dan melindungi warga Singapura dengan lebih baik, dengan menyediakan asas jelas bagi negara ini melaksanakan bidang kuasa jenayah.

Sementara itu, satu lagi undang-undang baru diluluskan iaitu Rang Undang-Undang Insentif Pengembangan Ekonomi (Pelepasan daripada Cukai Pendapatan) (Pindaan).

Bercakap di Parlimen, Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, berkata, antara lain, pindaan termasuk peningkatan skim Elaun Pelaburan bagi Pengurangan Pengeluaran Gas.

Ia kini diluaskan untuk meliputi sokongan terhadap pelaburan dalam peralatan yang menghasilkan pengurangan pengeluaran gas rumah hijau, yang boleh diukur dan disahkan.

Tambah Cik Low, dengan insentif yang lebih luas, dan perhatian syarikat lebih meningkat terhadap pengeluaran karbon mereka, skim ini dijangka menarik minat yang mendalam pada masa depan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg