Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Undangan walimah kian 'terasa' sejak hujung tahun lalu

Namun masih ada yang keliru peraturan keselamatan yang perlu diawasi; masyarakat dinasihati agar terus waspada
Jan 4, 2021 | 5:30 AM
a93c214c-52e9-49ce-a5ee-ba8dcf0e6a60
-

DALAM Singapura menyambut kedatangan tahun 2021 dengan pembukaan ekonomi Fasa Ketiga, sektor pernikahan secara beransur-ansur mula melihat 'musim jemputan walimah'.

Beberapa warga yang dihubungi Berita Harian (BH) berkata mereka sudah mula merasakan kemeriahan majlis setelah beberapa bulan menyesuaikan diri dengan langkah pengurusan selamat Covid-19.

Jumlah pasangan yang tidak mahu terlepas peluang melangsungkan pernikahan mereka terutama dalam musim cuti hujung tahun lalu kian ketara sehingga ada yang merasakan menerima beberapa jemputan kahwin pada hujung minggu yang sama - seolah-olah semasa era sebelum pandemik - dengan penyesuaian ini lebih ramai orang kini terdorong menghadiri majlis, lebih lagi dalam beberapa bulan yang akan datang sempena tahun baru 2021.

"Hampir setiap minggu sepanjang Disember saya perlu menghadiri majlis kahwin rakan atau saudara. Walaupun majlisnya ringkas, ia amat bermakna," kata Encik Salleh Roslan, mengongsi pengalaman dengan BH.

Naib kadi dan imam eksekutif Masjid Jamiyah Ar-Rabitah, Ustaz Muhamad Nuzhan Abdul Halim, pula berkata:

"Ramai orang tidak menjangkakan dapat lebih banyak undangan sejak bulan lalu, saya sendiri ada 60 tempahan (akad nikah). Secara purata, setiap minggu 15 tempahan yang perlu saya uruskan."

Pengarah urusan syarikat Amani Weddings, Encik Mohamed Nor Ismail yang juga dikenali sebagai Kino, berkata:

"Tempahan saya terima lebih banyak semasa Fasa Kedua. Jadi, kami perlu buat persiapan bagi tempahan yang dijangka bertambah sepanjang Fasa Ketiga ini. Bagi saya, perbezaan paling ketara ialah trendnya.

"Kalau dulu, orang buat tempahan sekitar dua hingga tiga tahun lebih awal, kini ada pasangan yang book dua bulan sebelum tarikh pernikahan mereka."

Namun, Encik Mohamed Nor, yang juga merupakan Pengerusi Kelompok Perkahwinan dan Acara di Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), berkata:

"Keadaan (perniagaan) tetap sama kerana had tetamu kekal pada 100 orang, meskipun kami menjangkakan jumlah itu akan terus dinaikkan pada fasa ini.

Cik Fasya Jefrisidik daripada firma Wedeco Wedding berkata beliau telah menerima tempahan bagi majlis pernikahan sehingga 2022.

Namun beliau berkata terdapat ramai pelanggan yang mempunyai salah tanggapan bahawa jumlah tetamu secara keseluruhan boleh ditambah kepada 250 orang - sejajar acara persembahan secara langsung Fasa Ketiga ini.

Di bawah peraturan Fasa Ketiga, had bilangan tetamu di tempat acara kekal pada 100 orang yang harus dipisahkan dalam zon yang menampung sehingga 50 orang pada setiap masa.

"Selepas pengumuman Fasa Ketiga, ramai pelanggan yang keliru. Ada yang menyuruh saya menambah jumlah tetamu bagi majlis mereka namun saya tidak boleh berbuat demikian. Jadi ia agak sukar untuk menjelaskan keadaan ini kepada pelanggan yang kurang memahami," kata Cik Fasya.

Namun beliau menyambut baik langkah bagi meningkatkan jumlah tetamu yang duduk di setiap meja sehingga lapan orang.

"Ini kerana jumlah sebelum ini - iaitu lima orang - menyukarkan mempelai dan orang tua mereka mengaturkan tempat duduk untuk tetamu kerana kebanyakan tetamu ingin duduk bersama. Jadi agak sukar sekiranya ada tetamu yang terpaksa duduk seorang diri bersama dua pasangan lain di satu meja."

Di bawah Fasa Ketiga pembukaan semula ekonomi, atur cara majlis pernikahan kini boleh menyaksikan sehingga lapan tetamu yang duduk di satu meja, berbanding lima tetamu pada Fasa Kedua. Langkah ini sejajar dengan jumlah pelanggan yang dibenarkan duduk semeja di tempat makan awam dan restoran.

Muzik instrumental secara langsung, kecuali alat muzik angin, juga boleh dimainkan di majlis perkahwinan dalam bangunan.

Meskipun itu, terdapat kekeliruan terhadap kelonggaran sekatan tersebut.

Mengenai perkara ini, Cik Fasya yang biasa menganjurkan acara kahwin di hotel setempat, menjelaskan bahawa persembahan kompang masih tidak dibolehkan.

"Kami masih perlu mematuhi peraturan di bawah pihak perhotelan dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) yang melarang persembahan kompang kerana ia melibatkan nyanyian. Jadi inilah antara cabarannya, ramai masih tidak memahami peraturan Covid-19 secara terperinci," tambah Cik Fasya lagi.

Ustaz Muhamad Nuzhan turut menggesa agar keluarga pengantin terus mematuhi langkah jarak selamat dan tidak bersikap sambil lewa semasa Fasa Ketiga ini.

"Saya perhatikan bahawa sekarang terdapat beberapa keluarga yang kurang terjaga akan peraturan yang disediakan dan lebih juga tanya saya "Ustaz, sekarang dah boleh salamkan? Sebab dah Fasa Tiga.

"Saya rasa ada yang salah faham kerana tiada peraturan yang katakan kita sudah boleh bersalaman.

"Demi kemaslahatan masyarakat, kita harus terus berwaspada dan jaga jarak selamat dan jika kita jaga undang-undang dan peraturan, majlis akan diberkati," kata Ustaz Muhamad Nuzhan lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg