BUKAN cemerlang dalam pelajaran sahaja, namun pada masa lapangnya Cik Cherize Zaidi gemar melakukan jahitan crochet dan menjalankan perniagaan kecil dalam talian sebagai hobi sejak tahun lepas.
Pelajar diploma sumber manusia (HR) dan psikologi itu antara pelajar menyerlah di Politeknik Singapura (SP) dalam keputusan akademik.
Beliau dianugerahkan Pingat Emas Chua Chor Teck kerana pencapaian cemerlangnya dalam upacara penyampaian diploma SP.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Yishun Town ini memperoleh keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'O' dan layak ke maktab rendah tetapi memilih ke politeknik.
"Walaupun saya meminati subjek Matematik Tambahan dan Biologi, saya tidak mahu pekerjaan saya berkaitan dengan subjek itu.
"Saya tidak mahu bekerja dalam bidang kajian.
"Minat saya lebih dalam bidang bisnes kerana saya berasa ia menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan," ujar Cik Cherize, 20 tahun.
Beliau memilih belajar HR di SP kerana pada masa itu bapanya bekerja di Agensi Tenaga Kerja Singapura dan beliau melihat bapanya membantu orang yang tiada atau hilang pekerjaan.
"Saya dapat lihat bagaimana beliau dapat meninggalkan kesan terhadap kehidupan orang lain melalui pekerjaannya dan juga membantu orang lain mencari pekerjaan sesuai," jelas anak sulung daripada tiga adik-beradik itu.
Walaupun minatmnya sudah berubah, mendaftar bagi kursus Pengurusan Sumber Manusia dan Psikologi di SP adalah keputusan yang tidak pernah dikesali Cik Cherize.
Melalui pembelajarannya di SP selama tiga tahun, beliau dapat melihat dirinya berkembang daripada individu pemalu kepada seseorang yang yakin.
Beliau percaya bahawa perubahan dirinya itu ialah disebabkan peluang pembelajaran yang ditawarkan oleh SP.
Misalnya, guru-guru mendorongnya menyertai pertandingan, acara rangkaian dan projek sekolah.
Selain pelajaran, Cik Cherize mendapat peluang merancang dan mengurus acara Festival Seni di sekolahnya.
Acara itu ialah satu persembahan khas di sekolahnya yang diberi kepada kumpulan persembahan di sekolahnya.
Oleh kerana beliau menyertai kelab gitar dan menjadi presiden kelab itu, Cik Cherize diberi tanggungjawab merancang acara khas tersebut walaupun beliau tiada pengalaman dalam pengurusan acara besar.
Keupayaan pelbagai yang ditunjukkan Cik Cherize itu antara faktor yang membuat beliau terpilih menerima Pingat Emas Chua Chor Teck.
Cik Cherize telah ditawarkan tempat di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) untuk mengikuti kursus ijazah sarjana muda dalam pengurusan perniagaan dan menyambung penlajaran pada Ogos.
Beliau melahirkan harapan dalam terus memperbaiki kemahirannya berpidato di khalayak ramai apabila di universiti nanti.
Sepuluh tahun dari sekarang, Cik Cherize berharap dapat membantu pekerja memulakan kerjaya bermakna bagi diari mereka sendiri melalui peningkatan kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg