Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) memperkenalkan unit dron dan digital baru buat kali pertama dalam latihan di luar negara, dikenali sebagai Forging Sabre, yang kini berlangsung di Idaho, Amerika Syarikat.
Ini didedahkan Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 9 September.
Jumlah dron yang digunakan dalam Latihan Forging Sabre 2025 (XFS25) itu telah meningkat kepada 24 unit berbanding 11 unit pada 2023, termasuk dron komersial seperti Skydio yang lebih murah dan mudah diperolehi.
Antara aspek baru dalam latihan itu termasuk penyertaan pasukan Tangkas Berinovasi Digital atau ‘Agile Innovation Digital’ Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) (RAiD), yang buat julung-julung kalinya menyertai latihan tersebut.
Terdiri daripada jurutera perisian yang bekerjasama rapat dengan Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA), RAiD menyesuaikan aplikasi digital secara langsung di lapangan bagi mempercepat kitaran pemerhatian dan keputusan atau Observe-Orient-Decide-Act (OODA) SAF.
Latihan XFS25 yang diadakan dari 6 hingga 21 September, melibatkan lebih 800 anggota SAF dan Komuniti Teknologi Pertahanan di kawasan latihan yang lebih 20 kali ganda lebih luas daripada ruang latihan di Singapura.
Memasuki edisi ke-10, latihan dwitahunan itu menjadi medan ujian bagi SAF mencuba konsep peperangan dan teknologi baru.
“Pendekatan ini memanfaatkan analisis data dan inovasi digital bagi memberi kelebihan taktikal kepada pasukan SAF di medan perang,” kata Mindef.
Turut membuat penampilan sulung ialah unit Operasi Penyepaduan dan Pengerahan Pantas Dron (Droid), di bawah kendalian Pusat Peperangan dan Taktik Sistem Pesawat Tanpa Pemandu atau UAS (UWTC).
Unit tersebut menguji penggunaan dron komersial kecil bagi tujuan pengawasan dan pemantauan di medan perang, di samping beroperasi bersama pesawat pejuang dan artileri dalam misi serangan bersepadu.
Selain RAiD dan Droid, Sistem Kawalan dan Perintah Maklumat (CCIS) turut dipertingkat.
Digambarkan fungsinya sebagai ‘minda’ latihan, CCIS kini dilengkapi automasi, penyepaduan digital serta algoritma pintar untuk membantu Panglima Tentera membuat keputusan pada masa nyata.
Leftenan Kolonel Lim Swee Ann daripada UWTC pula mengumpamakan fungsi baru CCIS sebagai aplikasi e-panggilan atau ‘ride-hailing’ untuk dron, di mana sistem boleh mengesyorkan aset paling sesuai dengan mengambil kira lokasi pesawat tanpa pemandu, keperluan misi dan tempoh penggunaan.
Latihan tersebut turut menekankan bagaimana SAF dapat mengekalkan operasi walaupun berdepan dengan peperangan elektronik atau gangguan lain di medan konflik.
Mindef berkata: “Bertema, Bersepadu, Mudah Suai, Tepat, XFS25 membolehkan SAF menggabungkan operasi merentas pelbagai domain, belajar daripada konflik semasa dan melaksanakan tindakan serangan dengan pantas serta tepat demi kejayaan misi.”
Forging Sabre berkembang pesat sejak edisi pertamanya pada 2005, yang pada ketika itu hanya melibatkan pesawat pejuang F-16, komando dan artileri.
Dua dekad kemudian, ia kini menampilkan pesawat pejuang F-15SG, F-16 yang dinaik taraf, UAV Heron 1 dan Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan A330 (MRTT) disokong oleh sistem kawalan dan perintah lebih canggih.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg