PENGUASA Pembangunan Semula Bandar (URA) semalam melancarkan penjualan sebuah tapak perumahan di Dunman Road melalui tender awam.

Dalam kenyataannya, URA berkata penjualan itu dilakukan di bawah senarai disahkan bagi program Penjualan Tanah Pemerintah (GLS) separuh pertama tahun ini (1H2022).

Tapak itu berpotensi menghasilkan sekitar 1,040 unit perumahan.

URA juga berkata ia akan mengeluarkan sebuah tapak putih di Kampong Bugis dari Senarai Simpanan 1H2022 serta-merta. Ini disebabkan kelewatan dalam menyiapkan kerja pembaikan tanah di tapak tersebut.

Pemerintah akan mengkaji semula rancangan pemeringkatan pembangunan bagi tapak itu.

Tapak putih diperuntukkan bagi pembinaan pelbagai guna seperti perumahan privet, hotel, pejabat dan runcit.

Tapak Kampong Bugis itu, yang terletak di muara Sungai Kallang, seluas 8.2 hektar dan berpotensi menghasilkan 4,000 unit perumahan.

Ia juga mempunyai keluasan lantai kasar (GFA) 50,000 meter persegi untuk kegunaan pelengkap seperti runcit, pejabat dan kegunaan masyarakat.

Keseluruhan tapak itu mempunyai GFA maksimum 390,000 meter persegi.

Menurut URA, tender bagi tapak Dunman Road akan ditutup pada tengah hari pada 2 Jun.

Tapak itu terletak berdekatan stesen MRT Dakota dan seluas 25,234.3 meter persegi.

Ketinggian maksimum bagi bangunan di tapak itu ialah 64 meter.

GFA maksimum bagi tapak itu ialah 88,321 meter persegi.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti