Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

URA minta artis tangguh ubah mural sedang ia semak pendiriannya

Jun 22, 2024 | 2:33 PM
Artis Amerika yang berpangkalan di Singapura, Encik Sean Dunston tergesa-gesa mengubah suai karyanya selepas Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) menetap tarikh akhir untuk mengusulkan idea baru pada 3 Julai.
Artis Amerika yang berpangkalan di Singapura, Encik Sean Dunston tergesa-gesa mengubah suai karyanya selepas Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) menetap tarikh akhir untuk mengusulkan idea baru pada 3 Julai. - Foto ST

Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) telah meminta artis di sebalik mural kontroversial, yang menampilkan seorang wanita samsui memegang rokok, supaya menangguhkan sebarang perubahan pada karyanya sementara pihak berkuasa menyemak semula pendiriannya untuk mengubah suai mural itu.

Pada 21 Jun, The Straits Times (ST) melaporkan tentang bantahan dalam talian terhadap arahan URA untuk memadamkan rokok dari mural itu yang terletak di 297 South Bridge Road, bertentangan dengan MRT Maxwell.

URA juga menukil aduan oleh pihak yang tidak mahu dinamakan, yang membandingkan wanita dalam mural itu dengan “pelacur” dan menyifatkan mural itu sebagai “menyinggung perasaan”.

Artis Amerika yang berpangkalan di Singapura, Encik Sean Dunston telah tergesa-gesa untuk mengubah suai karyanya itu selepas URA menetap tarikh akhir 3 Julai untuknya memberi cadangan baru, dan mengatakan terdapat kemungkinan kehilangan permit sementara bagi perniagaan yang beroperasi di sana, Ya Kun Kaya Toast, yang sepatutnya tamat pada 27 Julai.

Di akaun Instagram, Encik Dunston telah mencadangkan agar menggantikan rokok itu dengan melukis anak kucing, taco atau paip candu.

Namun, URA telah meminta agar mural wanita samsui yang sedang merokok itu dikekalkan buat sementara waktu di dinding kawasan bersejarah yang pernah menempatkan buruh migran perintis di negara ini.

Menurut ST, dalam satu e-mel kepada tuan tanah, yang diwakili Shepherd Asset Management dan bertarikh 21 Jun, URA berkata ia telah “mengambil perhatian maklum maklum balas tambahan mengenai mural itu”. URA juga meminta tuan tanah “supaya menangguhkan sebarang perubahan ke atas mural itu sehingga semakan selesai”.

E-mel itu tidak memberikan garis masa untuk semakan.

URA menekankan walaupun mural itu “disiapkan tanpa kelulusan terlebih dahulu”, pihak berkuasa sedang meneliti semula pendiriannya “berdasarkan maklum balas orang ramai baru-baru ini”.

Jurucakap Shepherd sebelum ini memberitahu ST bahawa ia tidak memohon kelulusan awal untuk mural itu, yang sudah siap pada awal April, tetapi memberi penyertaannya pada 19 April.

Dalam responsnya pada 8 Mei, URA mengenal pasti gambaran wanita samsui merokok sebagai satu isu dan meminta Shepherd supaya mengemukakan semula cadangannya sebelum 22 Mei.

Syarikat itu tidak memenuhi tarikh akhir tersebut.

Sebelum penilaian semula ini, URA telah menentukan bahawa “gambaran merokok pada mural yang tidak diluluskan tidak sejajar dengan dasar anti-merokok Singapura” selepas berunding dengan pihak berkepentingan dan agensi berkaitan.

Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Seni, Cik Usha Chandradas memberitahu ST bahawa mural itu mempunyai nilai sebagai titik perbincangan untuk topik sosial yang penting dan mengalu-alukan langkah URA untuk menilai semula pendiriannya.

Beliau berkata: “Karya khusus ini menceritakan pengalaman pekerja asing di Singapura, yang merupakan kebimbangan kontemporari. Saya dapat melihat nilai di dalamnya dipersembahkan dalam cara yang jujur kerana ia mendorong refleksi dan perbualan tentang cara kita melihat dan berinteraksi dengan pekerja asing dalam masyarakat kita hari ini.”

Cik Chandradas menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan lebih “penilaian holistik” dengan mengambil kira niat artis dan konteks sejarah, dan tidak membuat keputusan “berdasarkan komen atau maklum balas daripada orang ramai yang mungkin dibuat atas syarat yang kurang dipertimbangkan”.

Namun begitu, beliau menambah bahawa permohonan dan proses kelulusan untuk mural awam perlu dihormati.

Mengenai proses membuat keputusan URA, Encik Duston berkata: “Ia adalah baik untuk mempunyai batas tetapi templat generik untuk menguatkuasakan peraturan pada seni boleh merosakkan. Pendirian dasar mengenai rokok adalah berasas jika ia adalah iklan, pengesahan atau sokongan. Mural ini bukan salah satu daripada itu.”

Beliau menerima lebih banyak maklum balas positif daripada orang ramai sejak kontroversi dengan URA. Mengenai keputusan pihak berkuasa untuk menilai semula pendirian mereka terhadap mural itu, Encik Dunston berkata: “Saya berharap mereka akan mengambil kira konteks dan sejarah.”

Beliau tidak akan mengubah suai mural itu buat masa ini dan akan menunggu maklumat lanjut daripada pihak berkuasa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg