Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usah ‘import’ masalah negara luar, utamakan negara sendiri

Pengamat Abu Dhabi puji keunikan fabrik sosial S’pura; perpaduan satu aset bantu negara lain
Nov 16, 2024 | 5:30 AM
Pengerusi Hedayah, Dr Ali Rashid Al Nuaimi (kiri), berada di Singapura sebagai penceramah undangan sesi kuliah, S R Nathan Distinguished Lecture, anjuran Institut Timur Tengah Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 7 November. Bersama beliau ialah moderator sesi, Pengerusi Institut Timur Tengah NUS, Profesor Joseph Liow.
Pengerusi Hedayah, Dr Ali Rashid Al Nuaimi (kiri), berada di Singapura sebagai penceramah undangan sesi kuliah, S R Nathan Distinguished Lecture, anjuran Institut Timur Tengah Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 7 November. Bersama beliau ialah moderator sesi, Pengerusi Institut Timur Tengah NUS, Profesor Joseph Liow. - Foto FACEBOOK INSTITUT TIMUR TENGAH NUS

Adalah penting warga Singapura tidak mudah dipengaruhi oleh krisis yang berlaku di rantau atau negara lain dan membawa isu berkenaan ke tanah air sendiri kerana ia boleh menjejas pembangunan masyarakat di negara sendiri.

Ini sedang konflik dan ketidakstabilan geopolitik kian rencam dan mencengkam dunia, kata Pengerusi Hedayah, Dr Ali Rashid Al Nuaimi.

Hadeyah merupakan Pusat Kecemerlangan Antarabangsa bagi Menentang Ekstremisme dan Ekstremisme Ganas yang berpangkalan di Abu Dhabi.

Beliau berada di Singapura sebagai penceramah undangan bagi sesi kuliah, S R Nathan Distinguished Lecture, anjuran Institut Timur Tengah Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 7 November.

Berkongsi kepada Berita Harian (BH) melalui panggilan telefon dalam temu bual eksklusif baru-baru ini, beliau berkata:

“Adalah penting anda tidak membawa krisis (luar negara) kepada keluarga atau masyarakat di tanah air sendiri. Ini akan merosakkan diri anda dan mencipta masalah dalaman bagi anda.”

Ia berpotensi mengalihkan tumpuan terhadap membina masyarakat, melabur dan membesarkan generasi baru dalam suasana aman dan makmur, tambahnya.

Secara tidak langsung, ujar beliau, hal sedemikian mengalihkan keutamaan seseorang dari segi individu, anggota keluarga, anggota masyarakat dan lebih luas, sebagai warga.

Dr Ali khususnya merujuk kepada konflik Israel-Palestin yang berlarutan dan akur bahawa ia dekat di hati ramai orang Islam di sini.

Beliau menggariskan dua prinsip bagi umat Islam Singapura dalam meredah arus ketidaktentuan sejagat iaitu mengutamakan negara dan mempertahankan keunikan fabrik sosial Singapura.

UTAMAKAN NEGARA

Dr Ali, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pertahanan, Dalam Negeri dan Hal Ehwal Luar Majlis Kebangsaan Persekutuan bagi Amiriah Arab Bersatu (UAE), berkata terdapat beberapa ‘tingkatan tanggungjawab’, dan tingkatan asas tertumpu pada negara sendiri.

Merujuk kepada Timur Tengah, beliau berkata rantau tersebut akan sentiasa dibelenggu krisis atau konflik.

“Saya ingin masyarakat Islam di Singapura faham bahawa rantau kami (di Timur Tengah) akan sentiasa dibelenggu krisis, konflik atau peperangan.

“Krisis yang berlaku hari ini, selepas ia tamat, akan ada lagi krisis lain yang melanda,” ujarnya.

Itulah sebabnya beliau menggesa agar warga Singapura – khususnya umat Islam di sini – tidak mengimport masalah luar negara atau rantau lain, sebaliknya meletakkan negara sebagai keutamaan pertama.

Dengan cara ini, tambah beliau, sesebuah masyarakat akan dapat saling memantapkan satu sama lain dan menjadi lebih teguh secara kolektif.

Dr Ali berkata: “Jika anda ‘import’ masalah (luar negara), anda akan merana dan tidak akan dapat membantu mereka (yang dalam kesusahan).

“Inilah sebabnya apabila masyarakat kekal utuh dan meraih kedamaian dan perpaduan seperti yang dinikmati Singapura kini, anda akan dapat menolong golongan atau negara lain apabila mereka perlukan bantuan.

“Saya mengesyorkan supaya masyarakat Islam di Singapura menilai keutamaan mereka dan meletakkan Singapura sebagai tumpuan utama (dan) berkhidmat untuk masyarakat. Jangan biarkan anasir luar mengubah keutamaan anda.”

Beliau memuji usaha masyarakat Islam dan pemerintah Singapura dalam membantu warga Palestin di Gaza, yang menurutnya boleh dijadikan contoh apabila komuniti bersatu hati, ia berada dalam kedudukan lebih baik untuk memberi bantuan tanpa pengaruh atau anasir luar.

KEUNIKAN FABRIK SOSIAL SINGAPURA

Di samping itu, beliau memberi penekanan bahawa Singapura berada dalam kedudukan unik, memandangkan pelbagai bangsa dan agama hidup secara harmoni.

Malah, beliau berkata ini sebenarnya merupakan satu aset, lebih-lebih lagi tatkala Singapura tidak mempunyai sebarang sumber semula jadi.

Menurutnya, fabrik sosial ini sukar diterapkan dan diperolehi di sebahagian besar negara disebabkan dasar, campur tangan politik dan perlembagaan negara, antara lain.

“Model Singapura membuktikan bahawa tanpa mengira bangsa, latar belakang mahupun agama, individu dapat hidup bersama dan berganding bahu untuk membina negara yang boleh dibanggakan,” ujarnya.

Oleh demikian, warga Singapura seharusnya mempertahankan keunikan ini daripada diporak-porandakan dan diperkotak-katikkan oleh unsur luar, kata Dr Ali, kerana anasir sedemikian “tidak mengerti konteks Singapura sebaik warga sendiri”.

Hal ini khususnya bagi umat Islam di sini, yang membentuk golongan minoriti dalam kalangan masyarakat majmuk Singapura – sekitar 15 peratus daripada penduduk Singapura beragama Islam, berdasarkan Banci Penduduk Singapura 2020.

TAMPILKAN SIFAT IHSAN TERHADAP AGAMA LAIN

Dr Ali menjelaskan peri pentingnya umat Islam di sini menampilkan sifat ihsan terhadap agama lain, seperti yang disyorkan dalam Islam, supaya golongan lain dititikberatkan dalam pembangunan sesebuah masyarakat dan negara.

Dari segi ini, beliau menukil persamaan UAE dengan Singapura dalam usaha kededua negara mengekalkan perpaduan dan keharmonian kaum.

Ini memandangkan warga asal UAE, dikenali sebagai Emirati, membentuk jumlah minoriti, dengan sebahagian besar penduduk UAE merupakan golongan ekspatriat atau warga asing dari pelbagai negara dan agama.

Tambahan juga, Islam merupakan agama rasmi yang telah termaktub dalam perlembagaan UAE.

Daripada sekitar 10.6 juta penduduk yang berdaftar di UAE, sekitar 11 peratus sahaja merupakan warga asal UAE, menurut anggaran perangkaan terkini laman rasmi kerajaan UAE.

Dr Ali menjelaskan: “Kami sedia maklum bahawa dengan kepelbagaian ini… kami dapat mencipta hab bagi kewujudan bersama, saling menghormati, bertoleransi, dan ini yang dapat kami banggakan.

“Inilah yang kami lihat sebagai sumber kekuatan di UAE dan inilah yang kami mahukan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg