Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usah malu tanya tentang ADHD agar dapat atasi keadaan

May 18, 2025 | 5:00 AM
adhd
Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada 16 Februari 2024, kajian akademik menganggarkan kelaziman ADHD (Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan) dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berkisar antara 5-8 peratus, manakala dalam kalangan orang dewasa berkisar antara 2-7 peratus. - Foto fail

Ketika makan malam bersama beberapa teman hujung minggu lalu, saya mendapat tahu bahawa salah seorang daripada mereka baru didiagnos dengan ADHD (Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan) pada usia 32 tahun.

Ia membuat saya berfikir sejenak.

Kita biasa mendengar kisah kanak-kanak di peringkat sekolah rendah ke bawah yang sukar menumpukan perhatian, pergerakan dan/atau emosi dalam kelas dan perbuatan itu mengganggu rakan sedarjah lain.

Diagnosis bagi ADHD di peringkat dewasa jarang didengar.

Apabila ditanya lebih lanjut, teman saya berkata beliau membuat keputusan menjalani pemeriksaan bagi mengesan simptomnya kerana ia menjejas prestasi beliau di tempat kerja.

Jika diberi arahan, ada kala teman saya salah mengerti dan melakukan perkara lain.

Beliau juga mengambil masa agak lama bagi menyelesaikan sesuatu tugas – sesuatu yang mungkin dapat dihabiskan dalam masa sejam mengambil masa dua atau tiga jam.

Pada mulanya beliau menyangka kesalahan demi kesalahan yang dilakukan adalah kerana silap faham atau kurang komunikasi antara beliau dengan pihak atasan.

Namun kesabaran manusia ada hadnya.

Peluang yang diberi agar beliau belajar daripada kesalahan semakin berkurang.

Beliau tidak mahu keadaannya berlarutan.

Berbekalkan gaji bulanan pertamanya sebagai pekerja sepenuh masa, beliau membuat janji temu doktor dan menjalani ujian berdasarkan Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental (DSM-5) dan terapi bersama ahli psikiatri, untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan.

Menurut laman web, Healthhub.sg, terdapat tiga jenis ADHD – kurang memberi perhatian penuh (inattention), hiperaktif (pergerakan terlampau cergas sehingga sukar dikawal) dan impulsif (terburu-buru).

Bagi yang kurang arif, mungkin ketiga-tiga jenis itu sukar dipisahkan atau dimengerti sebagai satu jenis ADHD yang sama.

Namun ADHD jenis inattention merupakan individu yang selalunya tidak mengikut arahan dan gagal menyelesaikan tugas, atau mungkin memulakan tugas tetapi cepat hilang fokus dan perhatian mereka mudah beralih.

Mereka turut mengalami kesukaran mengatur tugas dan aktiviti, kucar-kacir, tidak teratur atau mempunyai pengurusan masa yang lemah.

Jenis hiperaktif pula tidak boleh duduk diam, atau tidak selesa berdiam diri untuk masa yang lama.

Mereka rasa gelisah atau bergerak dalam situasi yang tidak sesuai.

Jenis impulsif pula selalunya akan mengganggu perbualan atau aktiviti, atau mengambil alih perkara yang dilakukan individu lain tanpa kebenaran.

Bagi teman saya, mendapat diagnosis ADHD jenis kurang memberikan perhatian penuh (inattention) adalah sesuatu yang amat melegakan.

Meskipun perlu mengambil ubat preskripsi doktor seperti Concerta – sejenis perangsang sistem saraf pusat – yang mempunyai kesan sampingan, ia dapat membantu beliau meningkatkan keupayaannya untuk memberi tumpuan dan fokus.

Mendengar kisahnya, saya berasa simpati kerana ia tentunya bukan keputusan yang mudah, bahkan boleh menjadi satu realiti baru yang menggerunkan.

Jika beliau mendapat diagnosis awal, adakah beliau akan dapat elak daripada situasi yang membuat dirinya dianggap kurang cekap di tempat kerja?

Mungkin campur tangan awal juga dapat membantu dirinya sewaktu masih bersekolah.

Saya hargai bagaimana teman saya dapat meluahkan perasaannya dan perjalanannya untuk mendapatkan bantuan, meskipun pengalaman yang dialaminya adalah sesuatu yang tidak pernah saya alami.

Dengan menyediakan lebih banyak ruang selamat untuk berbicara dan mengenal pasti simptom ADHD, mungkin dapat kita kurangkan stigma terhadap isu berkaitan kesihatan mental, terutama sekali dalam kalangan orang dewasa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg