Topic followed successfully
Go to BHkuUsah padam aplikasi, buang token TraceTogether
Usah padam aplikasi, buang token TraceTogether
Usah padam aplikasi, buang token TraceTogether
MESKIPUN situasi Covid-19 di Singapura kekal stabil, anggota masyarakat awam tidak seharusnya memadamkan aplikasi TraceTogether atau membuang token mereka.
Ini demi supaya mereka bersedia jika negara perlu melaksanakan sekali lagi langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi (VDS), kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.
"Kami mengambil langkah berjaga-jaga dan sikap 'kurangkan tapi bukan hapuskan' terhadap langkah kesihatan awam. Jika situasi memerlukannya, kami perlu mempertingkat VDS dan mengaktifkan semula TraceTogether dan SafeEntry," katanya di Parlimen semalam.
Tambahnya, ini akan ditentukan berdasarkan situasi pada masa akan datang.
"Kami perlu mengambil kira jika munculnya varian baru yang menimbulkan keprihatinan, sama ada ia lebih teruk atau lebih mudah berjangkit berbanding Omicron, atau sama ada jangkitan pada masa lalu dan vaksin masa kini terus memberikan perlindungan kukuh terhadap varian baru, dan bagaimana semua faktor ini menjejas kapasiti hospital," katanya.
Beliau menambah: "Saya faham terdapat beberapa anggota masyarakat yang inginkan sistem dan langkah-langkah yang jelas, namun malangnya ini tidak mungkin berlaku dalam krisis ini.
"Kami akan lakukan apa yang diperlukan untuk memastikan keselamatan orang ramai jika terdapat sebarang bahaya, dan kami akan menghapuskan langkah-langkah jika tidak diperlukan lagi, supaya orang ramai dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.
Memberikan responsnya terhadap pertanyaan Encik Lim Biow Chuan (Mountbatten) sama ada individu yang tidak divaksin penuh dibenarkan memasuki pusat beli-belah dan makan di tempat makan dan minuman (F&B), Encik Ong menjelaskan mereka boleh memasuki pusat beli-belah dengan langkah keselamatan yang telah dilonggarkan.
Namun, dengan kemungkinan "tinggi" berlakunya gelombang jangkitan seterusnya dan ancaman varian baru, Encik Ong berkata terdapat keperluan untuk terus kekal berwaspada.
Justeru, VDS terus dilaksanakan dalam tiga keadaan: Cawangan pusat hiburan malam, acara dengan lebih 500 peserta pada satu-satu masa, dan cawangan F&B di mana pelanggan menanggalkan pelitup dan berinteraksi.
"Meskipun demikian kami tidak akan melaksanakan TraceTogether dan SafeEntry bagi F&B, dan akan meletakkan tanggungjawab terhadap pelanggan untuk memastikan mereka divaksin penuh sebelum mengunjungi cawangan F&B," katanya sambil menambah pasukan bertindak akan terus menyemak VDS dengan situasi pandemik yang terus berubah.
"Kami mengambil langkah berjaga-jaga dan sikap 'kurangkan tapi bukan hapuskan' terhadap langkah kesihatan awam. Jika situasi memerlukannya, kami perlu mempertingkat VDS dan mengaktifkan semula TraceTogether dan SafeEntry."
- Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.

