Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usah takut manfaat teknologi bantu terjemah teks

Peranan penterjemah berubah, perlu sunting serta baiki penterjemahan yang dilakukan AI
Nov 14, 2024 | 3:35 PM
Cik Nur-El-Hudaa Jaffar merupakan penterjemah secara bebas dan perunding penyuntingan. Beliau akan menganggotai satu panel perbincangan semasa Persidangan Ulang Tahun ke-10 Jawatankuasa Penterjemahan Kebangsaan (NTC) yang akan berlangsung pada 15 November di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura.
Cik Nur-El-Hudaa Jaffar merupakan penterjemah secara bebas dan perunding penyuntingan. Beliau akan menganggotai satu panel perbincangan semasa Persidangan Ulang Tahun ke-10 Jawatankuasa Penterjemahan Kebangsaan (NTC) yang akan berlangsung pada 15 November di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Sempena ulang tahun ke-10 Jawatankuasa Penterjemahan Kebangsaan (NTC), satu sidang bertemakan ‘Menghubungkan Masyarakat melalui Terjemahan - Dahulu, Kini dan Masa Depan” akan diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura pada 15 November. Sidang ini bertujuan menghimpun penterjemah, akademik, pengamal industri dan orang ramai menyambut pencapaian sedekad dalam meningkatkan standard terjemahan di Singapura serta perbincangan tentang peluang dan cabaran masa hadapan penterjemahan dalam masyarakat kita. Berita Harian temui dua individu yang memainkan peranan penting dalam menghubungkan masyarakat melalui penterjemahan.

Dengan kemajuan dalam kecerdasan buatan (AI), penterjemah terpaksa menyesuaikan diri dan mengubah cara mereka menterjemah mengikut edaran masa, untuk memastikan mereka kekal relevan.

Bagi Cik Nur-El-Hudaa Jaffar, yang merupakan penterjemah secara bebas dan perunding penyuntingan, beliau mendapati tugasan yang diterima juga telah berubah.

Jika dahulu beliau lebih kerap menterjemah karya daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu atau sebaliknya, dari mula, kini peranan beliau lebih kepada penyunting yang meneliti dan memperbaik penterjemahan yang dilakukan AI.

Katanya: “Perubahan yang saya perhatikan adalah kini, penggunaan AI lebih ketara.

“Kadang kala saya akan menerima tugasan yang memerlukan saya untuk melihat semula dan memperkemas teks yang telah pun diterjemah.”

Apabila ditanya jika ia membuat dirinya berasa tergugat dengan kemunculan AI, Cik Nur-El-Hudaa menjawab:

“Sudah tentu, tetapi saya harus mencari jalan untuk menerima dan menggunakan teknologi baru ini untuk tugas saya dan bukannya melawan arus kerana masa hadapan penterjemahan adalah seiring dengan kemajuan teknologi.”

Cik Nur-El-Hudaa, 54 tahun, yang juga penulis buku kanak-kanak seperti Cakap, Mila! Cakap! dan Siri Azam, pernah memenangi tempat pertama dan kedua dalam kategori cerita pendek Melayu, bagi pertandingan penulisan kreatif Anugerah Pena Emas 2017 dan Hadiah Terjemahan Mastera pada 2019.

Menurut beliau, penterjemahan bukan sekadar pengalihan karya dari satu bahasa ke bahasa yang lain.

Terdapat banyak perkara yang perlu dipertimbangkan oleh seorang penterjemah seperti mengekalkan nuansa budaya dan makna yang tersirat di sebalik pepatah kata dan prosa.

Namun, cabaran itulah yang memberi makna kepada diri beliau sebagai penterjemah.

“Tanpa memahami konteks, ianya sukar untuk menterjemah dengan tepat.

“Oleh itu, untuk mengelak daripada membuat kesilapan, adakalanya saya akan merujuk kepada penulis asal untuk memahami inti pati penulisannya.

“Kita juga perlu rajin untuk membuat kajian, terutamanya dari segi sejarah, untuk benar-benar mengekalkan makna dan hasrat penulis agar penterjemahan kita adalah tepat dan teliti,” kata Cik Nur-El-Hudaa.

Selain daripada membuat kajian, Cik Nur-El-Hudaa turut berkongsi mengenai cabaran yang datang dengan menterjemah karya yang sesuai bagi kanak-kanak.

Kerap, buku kanak-kanak bergantung kepada ilustrasi untuk menyokong jalan cerita dan terdapat juga buku kanak-kanak yang tidak mempunyai perkataan, yang dikenali sebagai ‘wordless picture books’.

“Pernah sekali apabila saya menterjemah buku kanak-kanak, saya terpaksa menghubungi penulis dan ilustrator untuk berbincang jika kami perlu mengubah atau mengeluarkan satu muka surat ilustrasi.

“Ia mengandungi kandungan yang bercanggah dan tidak sesuai dengan konteks Singapura.

“Walaupun ia memakan masa, saya perlu melakukan sedemikian kerana jika tidak, saya tidak akan dapat menghasilkan terjemahan yang tepat,” ujar beliau lagi.

Cik Nur-El-Hudaa berharap bahawa penterjemah, belia dan sesiapa sahaja berminat untuk mempelajari dengan lebih mendalam mengenai dunia penterjemahan dapat turut serta dalam Persidangan Ulang Tahun ke-10 Jawatankuasa Penterjemahan Kebangsaan (NTC) yang akan berlangsung pada 15 November di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura.

Sidang yang akan diadakan bertemakan ‘Menghubungkan Masyarakat melalui Penterjemahan – Dahulu, Kini dan Masa Depan’. 

Beliau juga akan terlibat dalam satu panel perbincangan mengenai ‘The Creative Power of Translation: Connecting Communities and Empowering Young Voices’ (Kuasa Kreatif Penterjemahan: Menghubungkan Masyarakat dan Memperkasa Suara Golongan Muda) semasa persidangan NTC itu nanti.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg