PEMERIKSAAN kesihatan tidak seharusnya dilakukan hanya setelah mengalami masalah, tetapi sebelum seseorang itu menunjukkan sebarang tanda penyakit, menurut Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Amrin Amin.

Beliau memberi peringatan itu dalam ceramah kesihatan 'Awak OK?' Jom Bual-Bual Kesihatan, anjuran Berita Harian/Berita Minggu (BH/BM) dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) di Our Tampines Hub (OTH) semalam.

Ceramah dihadiri lebih 200 orang itu menampilkan sesi perbincangan bersama Konsultan Kanan, Pusat Perubatan Geriatrik, Hospital Tan Tock Seng (TTSH), Dr Noor Hafizah Ismail; dan Doktor keluarga Banyan Clinic, Dr Elly Sabrina Ismail.

Menjelaskan lebih lanjut, Encik Amrin berkata: "Tanda-tanda penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi mungkin tidak ketara sehingga seseorang itu mengalami komplikasi seperti angin ahmar.

"Walaupun kita berasa sihat, pemeriksaan kesihatan itu penting. Penyakit jika dikesan awal dapat dikawal dan langkah-langkah seperti bersenam dapat dipertingkatkan."

Beliau juga menggesa masyarakat supaya mengamalkan gaya hidup sihat yang betul berlandaskan kajian saintifik dan bukan daripada khabar angin.

Beliau memberi contoh tanggapan yang produk kesihatan alternatif boleh mengawal penyakit kronik seperti yang diuar-uarkan dalam sesetengah iklan media, sedangkan jaminan diberi tidak semestinya berlandaskan fakta dan kajian saintifik.

"Mungkin keadaan boleh lebih teruk kerana lambat mendapatkan rawatan sewajarnya.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

"Tanyalah doktor anda sebelum mengambil produk-produk kesihatan alternatif kerana ia boleh menjejas keberkesanan ubatan," gesanya.

Sementara itu, Dr Elly menyeru agar menjalani ujian pemeriksaan kesihatan tanpa mengira usia.

"Sebenarnya pemeriksaan kesihatan bukan sahaja untuk mereka yang lanjut usia.

"Mereka yang berusia muda, tidak bermakna mereka tiada penyakit. Apa yang utama, pemeriksaan kesihatan itu membolehkan seseorang memperbaiki tahap kesihatan mereka," ujar beliau.

Mengenai isu kesihatan warga tua, Dr Noor Hafizah berkata kemunculan penyakit di usia senja adalah ekoran gaya hidup kurang sihat sejak waktu muda dan bukan hanya kerana faktor usia.

"Secara semula jadi, dengan usia tua ada perubahan fizikal pada diri seperti rambut putih dan pergerakan tidak sepantas dan selincah dulu. Ia tidak bermakna kita tidak sihat.

"Tetapi, mereka yang ada masalah kesihatan lazimnya kerana kesan penyakit kronik. Jadi, amalkan gaya hidup sihat dari muda lagi dan perlu rajin bersenam," nasihatnya.

Panduan diberi pakar dalam sesi itu banyak memberi manfaat kepada peserta seperti Cik Aishah Amyadi, 54 tahun.

"Peringatan agar rajin bersenam dan lakukan pemeriksaan memang diperlukan agar saya dapat menjaga kesihatan diri," terangnya.