Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha bantu pelajar sesuaikan diri di sekolah rendah

Mar 4, 2021 | 5:30 AM
LENGKAPI KEMAHIRAN: Guru AED seperti Cik Mastura M Hashim membantu pelajar menyesuaikan diri apabila melangkah ke darjah satu . - Foto BH oleh KEVIN LIM
LENGKAPI KEMAHIRAN: Guru AED seperti Cik Mastura M Hashim membantu pelajar menyesuaikan diri apabila melangkah ke darjah satu . - Foto BH oleh KEVIN LIM -

SATU program yang bertujuan membantu murid darjah satu yang mempunyai keperluan sosial dan tingkah laku khas menyesuaikan diri dengan sekolah rendah akan diperluas kepada setiap sekolah menjelang 2026.

Program Sokongan Peralihan untuk Integrasi bagi Pelajar Baru (Transit) itu menyediakan sokongan bagi murid membangunkan kemahiran asas pengurusan diri dalam kumpulan kecil dan di dalam kelas semasa tahun pertama di sekolah rendah.

Ia bertujuan membantu murid lebih bedikarai dalam kelas dan hanya memerlukan bantuan sekali-sekala.

Program itu akan dikendalikan Pendidik Bersekutu (Sokongan Pembelajaran dan Tingkah Laku) (AED LBS) dan guru.

Mengumumkan program ini semasa bahas belanjawan Kementerian Pendidikan semalam, Menteri Negara Pendidikan Cik Sun Xueling berkata sehingga akhir tahun ini berkata MOE telah memperkenal Transit dalam tempoh rintis di 40 sekolah rendah, atau satu daripada lima sekolah rendah di sini.

Beliau menambah usaha tersebut akan memanfaatkan sekitar lima hingga sepuluh pelajar darjah satu di setiap sekolah setahun.

Antara sekolah pertama yang menerapkan program ini adalah Sekolah Rendah Elias Park yang menyertainya pada 2017.

Berkongsi kisah seorang murid, yang dikenali sebagai M, Cik Sun berkata murid tersebut mempunyai masalah sukar menyesuaikan diri apabila memasuki darjah satu.

"Dia akan baring di lantai dan pekik di dalam kelas.

"Menerusi Transit, guru dan AED (LBS) mengajar M kemahiran pengurusan diri seperti komunikasi.

"Hari ini M mempunyai sikap pembelajaran positif dan berinteraksi dengan baik bersama teman-temannya," ujarnya.

Guru AED (LBS) Kanan di sekolah itu, Cik Mastura M Hashim, 41 tahun berkata:

"Kami dapat lihat perubahan positif daripada segi cara murid menguruskan emosi mereka, pencapaian akademik dan juga kemahiran sosial."

Menurutnya, murid yang perlu mengikuti program ini akan dikenal pasti selepas seminggu sekolah.

Para pelajar ini akan dilengkapi kemahiran yang diperlukan, selain dorongan di dalam kelas dengan memanfaatkan sistem ganjaran dan juga sudut menenangkan diri bagi mereka yang perlu menenangkan emosi. - OLEH SHAHIDA SARHID

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg