Tatkala berkhidmat di pertubuhan tidak mencari untung My Community pada 2023, Dr Muhammad Hadi Osni kerap bersua dan beramah-tamah bersama warga emas yang tinggal di estet Dawson di Queenstown.
Mereka berpindah dari Tanglin Halt di bawah Skim Pembangunan Semula Yang Terpilih Secara Berkelompok (Sers).
Menerusi interaksi kerap itu, Dr Hadi mendapat tahu warga senja tersebut berdepan banyak kesukaran mencari jalan di sekitar estet baru mereka kerana tidak biasa dengan persekitarannya.
Didorong sifat ingin meringankan masalah mereka, beliau bekerjasama dengan sekumpulan relawan untuk melaksanakan projek membantu warga emas menjelajah dan mencari blok serta kemudahan di estet tersebut.
“Di estet lama mereka, warga tua ini tinggal di blok 10 tingkat sahaja, tetapi estet baru ini mempunyai blok lebih 40 tingkat, jadi mereka berasa takut sedikit dan mendapati kawasannya sunyi.
“Jadi projek kami meletakkan tanda arah dan petanda supaya warga emas tahu di mana kawasan kemudahan dan blok mereka. Kami menggunakan warna dan ikon berbeza untuk menunjukkan blok, termasuk di mana peti surat, dewan serbaguna dan sebagainya. Ini bukan membantu bukan sahaja warga emas bahkan orang lain yang datang berkunjung ke estet Dawson,” ujar bapa dua anak berusia 32 tahun itu.
Pada 21 September, Dr Hadi antara 47 individu yang diiktiraf bagi sumbangan aktif mereka dalam memperbaiki persekitaran kehidupan dalam kejiranan.
Mereka, yang merupakan sebahagian daripada rangkaian OneService Kakis di bawah Pejabat Perkhidmatan Perbandaran (MSO), diberi sijil penghargaan yang disampaikan oleh Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann, di Majlis Penghargaan OneService Kakis di bangunan Kementerian Pembangunan Negara (MND).
Rangkaian OneService Kakis, yang ditubuhkan pada 2021, bertujuan memupuk masyarakat aktif dan berpengetahuan bagi menangani isu perbandaran. Kini, rangkaian itu mempunyai 3,700 anggota.
Ketika dihubungi Berita Harian, Dr Hadi, seorang penolong kurator di Taman Warisan Melayu Singapura, berkata projek tersebut dapat dilaksana atas sokongan Dana Love Our ’Hood, yang menyokong inisiatif atau projek oleh masyarakat yang memperbaiki persekitaran kehidupan dan memupuk semangat kemasyarakatan dalam kejiranan.
Beliau juga berkata adalah penting generasi muda lebih mengambil berat tentang masyarakat, dan menggalak anak muda berani memulakan perbualan terbuka bersama orang di sekeliling mereka, termasuk datuk nenek, pekerja pembersihan estet, pemandu bas dan jiran.
“Bagi saya, sifat kejiranan penting kerana ia memupuk semangat kekitaan. Dengan interaksi positif bersama jiran, kita akan rasa terhubung dengan persekitaran kita, tempat yang kita gelar rumah. Ini boleh menggalak pemahaman, sifat toleransi dalam menangani perbezaan, tidak kira bangsa dan agama.
“Sekiranya (orang dalam kejiranan kita) menghadapi masalah, kita boleh tolong dan ini akan menjalinkan hubungan antara kita,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg