Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha buka pelbagai jalan tuju kejayaan

Podcast Berita Harian, ‘No Tapis’, papar tiga tamu kongsi pengalaman berbeza buru kejayaan
Jul 8, 2024 | 5:30 AM
(Dari kiri) Encik Muhammad Rizal Rashid, Cik Amalina Abdul Nasir dan Encik Lee Syafiq Muhd Ridzuan Lee, berkongsi pengalaman mereka berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam industri yang berbeza dalam siri podcast BH, No Tapis.
(Dari kiri) Encik Muhammad Rizal Rashid, Cik Amalina Abdul Nasir dan Encik Lee Syafiq Muhd Ridzuan Lee, berkongsi pengalaman mereka berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam industri yang berbeza dalam siri podcast BH, No Tapis. - Foto BH oleh AMIRA SYAHEERA AZLAN

Tahun demi tahun masyarakat Melayu/Islam di Singapura semakin maju.

Namun, takrif kejayaan bagi setiap individu itu berbeza.

Sebagai pelajar yang menjalani pendidikan agama sejak kecil, Cik Amalina Abdul Nasir, berkata beliau pernah dipandang rendah dan diberitahu bahawa masa depannya tidak begitu cerah.

Cik Amalina merupakan salah seorang daripada tiga tetamu dalam siri podcast Berita Harian, ‘No Tapis’.

Mereka berkongsi pengalaman dan usaha mencapai kecemerlangan dalam industri berbeza.

Mengimbas kembali saat itu, Cik Amalina, 30 tahun, berkata beliau berasa sedih kerana komen itu ditujukan kepada ibu bapanya.

“Sedihlah bila orang kata demikian kepada ibu bapa saya.

“Mereka banyak berusaha untuk memastikan semua ketiga-tiga adik-beradik saya masuk ke madrasah dan bergelut untuk melakukannya,” kata Cik Amalina.

Namun, kata-kata itu hanya membakar semangatnya untuk menceburi bidang yang menggabungkan agama dan pengetahuannya dalam menentang pengganasan.

Menurut Cik Amalina, pengetahuan agama sebenarnya membuka peluang bagi beliau menceburi bidang yang anggap sebagai ‘niche’, atau khusus.

“Apabila anda datang daripada latar belakang madrasah, saya rasa penghayatan atau pemahaman tentang beberapa ideologi radikal yang agak berbeza.

“Ini kerana kita dapat melihatnya daripada lensa agama,” kata lulusan Sarjana dalam Pengajian Strategik, pengkhususan dalam Pengajian Terorisme di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Cik Amalina, yang kini merupakan pengurus dasar di sebuah syarikat teknologi sejagat, memulakan kerjayanya dalam bidang menentang pengganasan.

Sementara itu, Encik Muhammad Rizal Rashid, pula mengambil masa tujuh tahun untuk mendapatkan diploma.

Beliau tercicir dari Politeknik Ngee Ann (NP) selepas dua tahun mengikuti kursus kejuruteraan elektronik sebelum bertukar ke Politeknik Republik (RP) dan akhirnya lulus jurusan pentadbiran penjagaan kesihatan selepas lima tahun.

“Ketika majlis tamat pengajian, saya berseloroh (dan) bertanya pengarah sekolah saya apakah saya boleh dapat anugerah khidmat taat setia?,” ujarnya, yang juga merupakan siswazah sarjana muda pemasaran perniagaan dari Universiti RMIT.

Dengan pengalamannya dalam pelbagai bidang, kini Encik Muhammad Rizal merupakan pengasas, Revitalize Grp Pte Ltd. Syarikat itu menawarkan produk mandian yang dikatakan dapat melegakan sakit badan, sakit otot, kekejangan dan ekzema.

Seorang lagi individu yang melalui laluan pendidikan lebih panjang adalah pemilik rangkaian gerai makanan Ashes Burnnit, Encik Lee Syafiq Muhd Ridzuan Lee.

Ekoran kerap dibandingkan dengan anggota keluarga yang sering cemerlang dalam pelajaran, Encik Syafiq berkata beliau sering bersembunyi semasa pertemuan keluarga.

Namun, apabila memasuki Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dalam Seni Kulinari, Encik Syafiq mula menyerlah.

“Saya mula berminat untuk memasak dan ingin tahu bagaimana sesuatu makanan boleh menjadi sedap.

“Daripada situ saya berusaha untuk terus meningkatkan resipi-resipi yang saya ada...

“ITE telah memberi saya platform untuk menceburi bidang ini sebagai kerjaya saya hari ini,” tambah beliau.

Meskipun perjalanannya untuk mencapai kejayaan berlainan daripada orang lain, Encik Syafiq, menekankan pentingnya usaha gigih dan sikap tidak putus asa.

Memberi nasihat kepada anak muda dalam podcast tersebut, Encik Syafiq, berkata:

“Saya rasa anda tidak sepatutnya hidup dengan penyesalan.

“Jika anda gagal sekarang, anda sentiasa boleh mencuba lagi dan mencari peluang yang tersedia di luar sana.”

*Artikel ini telah disemak untuk menambah ketepatannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg