DEMI mendorong kehidupan mesra alam dan mampan serta menggalak masyarakat melakukan kebaikan, syarikat 3M Singapore dengan kerjasama Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East telah melancarkan projek Cabaran Hijau 3M @ South East.
Menerusi projek ini, 3M akan menderma produknya bagi setiap tindakan mampan yang diambil, dengan sasaran menderma lebih $102,000 produk 3M untuk 3,000 keluarga rentan di South East CDC.
Kempen itu dilancarkan kelmarin di Paya Lebar Quarter Plaza oleh Mayor CDC South East yang juga penasihat kepada GRC Marine Parade, Encik Mohd Fahmi Aliman, dan Encik Jannik Termansen, Pengarah merangkap Ketua Wilayah Hal Ehwal Pemerintah & Pasaran 3M.
Semasa pelancaran itu, 500 perserta menyertai aktiviti mampan dalam membuat sabun mesra alam dan menukar baju lama menjadi bag.
Mereka juga mengikrarkan komitmen membina tabiat mampan, dengan matlamat mengumpul sumbangan untuk penduduk memerlukan.
"Untuk menyokong pelan hala tuju nasional dalam membina masyarakat lebih mesra hijau dan lebih mampan, kempen ini bertujuan membantu rakyat Singapura memupuk tabiat hijau yang lebih baik.
"Saya ingin menggalak semua rakyat Singapura menyertai saya dalam inisiatif ini untuk memastikan alam sekitar kita sentiasa hijau sambil berbuat baik dan memberi produk rumah bagi keluarga memerlukan di Daerah South East ," kata Encik Fahmi.
Antara individu yang akan meraih manfaat daripada Cabaran Hijau 3M @ South East ialah Cik Siti Hawa Jumali, seorang ibu tunggal berusia 31 tahun yang menyara dua anak berumur dua dan 13 tahun serta ibunya, 61 tahun.
Semasa ditemui Berita Harian di acara itu, Cik Siti, seorang kakitangan pentadbiran dan khidmat pelanggan, berkata inisiatif tersebut akan membantunya memastikan kebersihan rumahnya dijaga.
Cik Siti berkata beliau mengamalkan tabiat hijaunya sendiri, seperti mencadangkan kepada penyelianya supaya mengurangkan pergantungan pada kertas dan sering membawa beg sendiri apabila membeli barang keperluan rumah.
seorang lagi bakal penerima, Cik Noorizan Zainal, 40 tahun, berkata: "Produk 3M sangat berguna untuk keluarga saya. Saya penjaga utama sepupu saya yang sedang melawan kanser dan menjaga kebersihan rumah adalah sangat penting."
Dalam ucapannya semasa pelancaran itu, Encik Termansen berkata: "Kami sangat teruja dengan potensi kempen kami. 3M percaya pada dunia yang saksama, inklusif dan mampan, jadi kami berfikir, bekerja dan bertindak untuk memacu perubahan bermakna berterusan, dan kami berterima kasih kepada komuniti kami kerana menyertai kami dalam usaha ini."


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg