Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha gigih S'pura kurangkan jurang digital

Khidmat jalur lebar melalui program Akses Rumah Bersubsidi tingkatkan penembusan jalur lebar dari 90% pada 2017 ke 98% kini
Oct 5, 2021 | 5:30 AM
MAJLIS PELANCARAN: Cik Josephine Teo (dua dari kiri) diundang melancarkan Institut Grab Tech for Good. Bersama beliau, antara lain, ialah Cik Tan Hooi Ling, Ketua Pegawai Operasi Grab (dua dari kanan). - Foto BH oleh CHONG JUN LIANG
MAJLIS PELANCARAN: Cik Josephine Teo (dua dari kiri) diundang melancarkan Institut Grab Tech for Good. Bersama beliau, antara lain, ialah Cik Tan Hooi Ling, Ketua Pegawai Operasi Grab (dua dari kanan). - Foto BH oleh CHONG JUN LIANG -

INKLUSIVITI dalam aspek pendigitalan bukan suatu kenyataan bagi semua warga, namun Singapura telah membuat banyak usaha untuk mengurangkan jurang digital ini, kata Menteri Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo.

Memberikan contoh, khidmat jalur lebar, atau broadband, melalui program Akses Rumah bersubsidi telah membantu meningkatkan penembusan jalur lebar daripada 90 peratus pada 2017 kepada 98 peratus sekarang.

Beliau menambah, Duta Digital juga telah melatih lebih 100,000 warga emas dan membiasakan mereka dengan apa yang dipanggil sebagai "tindakan digital pada kehidupan harian".

Ini termasuk pembayaran tanpa menggunakan wang ringgit secara fizikal, membaca akhbar dalam talian daripada perpustakaan awam dan berinteraksi dengan keluarga dalam talian.

Di samping itu, Perseketuan bagi Tindakan mengenai Tempahan dalam Talian bagi Penjaja yang ditubuhkan sudah berjaya menarik lebih 5,500 penjaja dalam masa beberapa bulan dalam masa sukar ini.

Bilangan penjaja yang mengambil bahagian dalam tempahan melalui dalam talian ini telah meningkat daripada sepertiga kepada separuh.

Cik Teo berkata demikian semasa pelancaran Institut Grab Tech for Good, semalam.

Namun, beliau akur bahawa dengan lebih ramai yang berhubung secara digital, terdapat juga risiko yang perlu ditangani seperti penipuan dalam talian dan kejadian memeras ugut menggunakan sofwe atau ransomware.

Oleh yang demikian, pemerintah telah mengorak langkah untuk melindungi penggunaan dalam talian dengan melancarkan Pelan Induk Ruang Siber Lebih Selamat, Oktober lalu, bagi mewujudkan ruang siber yang lebih selamat di Singapura.

Selain itu, kesedaran jenayah siber dalam sektor privet juga akan dipertingkat dengan penubuhan Perseketuan Individu Berkepentingan Jenayah Siber Awam-Swasta oleh Pasukan Polis Singapura.

Langkah proaktif juga diambil demi melindungi Prasarana Maklumat Kritikal, kata Cik Teo.

"Tetapi perjalanan terhadap inklusiviti digital sepenuhnya dan memastikan keselamatan digital, masih panjang.

"Kami bertekad mahu meningkatkan usaha ini di Singapura," katanya.

Singapura juga, menurutnya, berminat memainkan peranan membentuk pendigitalan global dan memastikan pembangunan digital mampan.

Misalnya, Singapura memperjuang mekanisme praktikal bagi perkongsian data seperti Rangka Kerja Pengurusan Data Asean.

Beliau turut menambah, Singapura merupakan anggota pengasas bagi Rakan Kongsi Global berbilang individu berkepentingan dengan pakar negara menyumbang secara aktif.

"Contoh-contoh ini mencerminkan keperluan mendesak bagi usaha daripada berbilang individu berkepentingan.

"Ini kerana cabaran dalam bidang digital ini amat kompleks dan kerjasama rapat diperlukan antara pemerintah, keusahawanan dan pengguna dengan penduduk merentasi sempadan negara," ujarnya lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg