Topik diikuti
Pergi ke BHkuUsaha hapus denggi dengan 'nyamuk biak khas' diperluas
PROJEK membanteras denggi dengan melepaskan nyamuk-nyamuk yang dibiak khas, akan diluaskan kepada tapak pembinaan dan estet perumahan privet di Marine Parade.
Ini kali pertama tempat-tempat sedemikian akan disertakan dalam projek itu.
Dalam kenyataannya, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) berkata Projek Wolbachia di Singapura telah berjaya mengurangkan sehingga 98 peratus populasi nyamuk Aedes aegypti di kawasan bandar.
Terdapat pengurangan 88 peratus kes denggi di lokasi kajian di Tampines, Yishun, Choa Chu Kang dn Bukit Batok.
Sehingga Jun 2021, pelepasan nyamuk jantan Wolbachia-Aedes di Yishun dan Tampines telah diluaskan daripada 39 blok HDB kepada 860 blok HDB.
Pelepasan nyamuk-nyamuk itu juga dilakukan di kawasan perumahan berisiko tinggi di Choa Chu Kang dan Bukit Batok, melibatkan 207 blok HDB yang mempunyai populasi nyamuk Aedes aegypti yang tinggi, kata NEA.
"Hasil positif daripada kajian di Tampines dan Yishun menunjukkan bahawa pelepasan nyamuk jantan Wolbachia Aedes yang berterusan berjaya mengurangkan populasi nyamuk Aedes aegypti bandar betina di lanskap Singapura yang dipenuhi bangunan tinggi dan padat," kata agensi tersebut.
Ia menambah bahawa kesan positif juga dapat dilihat di kawasan-kawasan berdekatan tempat pelepasan nyamuk-nyamuk jantan itu.
Di kebanyakan kawasan di lokasi kajian, satu hingga sembilan nyamuk ditangkap dalam setiap 100 perangkap dalam seminggu setelah beberapa bulan nyamuk dilepaskan.
Ini jauh kurang berbanding 50 atau lebih nyamuk yang ditangkap sebelum pelepasan.
Data baru yang didapatkan bagi kawasan Choa Chu Kang dan Bukit Batok juga menunjukkan pengurangan serupa dalam populasi nyamuk Aedes aegypti, dengan kebanyakan tempat mempunyai kurang 10 nyamuk yang ditangkap dalam setiap 100 perangkap dalam seminggu.
Menurut NEA, kebanyakan kawasan kajian menunjukkan pengurangan populasi nyamuk Aedes aegypti dalam tiga hingga empat bulan setelah pelepasan nyamuk jantan.
Pelepasan di Tampines dan Yishun akan diluaskan untuk merangkumi 686 dan 769 blok di kawasan masing-masing jelang suku pertama 2022.
Kawasan berisiko tinggi di Choa Chu Kang dan Bukit Batok akan disertakan jelang hujung tahun ini.
"Kesan positif keseluruhan Projek Wolbachia Singapura sangat menggembirakan.
"Ini adalah pertama kalinya teknologi ini terbukti berkesan dalam menindas nyamuk Aedes dan mengurangkan denggi dalam persekitaran tropika dan bandar bertingkat tinggi yang mencabar," kata Profesor Madya Ng Lee Ching, Pengarah Kumpulan, Institut Kesihatan Alam Sekitar, NEA.
