Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha jejak lelaki jatuh dari bot dekat Pulau Hantu masih berterusan

Mar 4, 2024 | 4:15 PM
Kerosakan yang berlaku ke atas salah satu bot, susulan kejadian pelanggaran antara dua bot di perairan dekat Pulau Hantu pada 2 Mac.
Kerosakan yang berlaku ke atas salah satu bot, susulan kejadian pelanggaran antara dua bot di perairan dekat Pulau Hantu pada 2 Mac. - Foto PEMBACA BH

Pihak berkuasa masih meneruskan operasi mencari seorang lelaki yang dipercayai terjatuh dari bot susulan pelanggaran antara dua bot di perairan dekat Pulau Hantu pada 2 Mac.

Lelaki tersebut dikenal pasti sebagai Encik Mohd Yunos Abdul Hamid, 60 tahun.

Dalam satu hantaran Facebook oleh Eryna Insyirah pada 3 Mac, beliau memohon doa daripada orang ramai agar dipermudahkan urusan mencari pak ciknya.

Beliau menyatakan mangsa merupakan bapa saudara sebelah suaminya.

“Kami baru sahaja menerima berita buruk bahawa pak cik bagi sebelah suami saya kini hilang di laut selepas beliau terjatuh dari bot semasa memancing.

“Kami tidak akan putus harapan, tetapi yakin dengan ketentuan Allah,” jelasnya.

Difahamkan memancing adalah hobi Encik Mohd Yunos dan beliau sering ke laut untuk memancing.

Daripada gambar yang dikirim pembaca kepada Berita Harian (BH), dapat dilihat bahagian belakang salah satu bot yang terbabit rosak teruk.

Tidak segera diketahui sama ada penumpang bot yang dilanggar memakai pelampung atau jaket keselamatan diri ketika kejadian.

Dalam satu video berasingan yang dikirim pembaca BH, dapat dilihat seorang lelaki meminta maaf kepada jururakam video, tetapi tidak dapat dipastikan sekiranya lelaki yang memohon maaf itu terlibat dalam pelanggaran tersebut.

Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) dalam satu kenyataan menjelaskan ia diberitahu tentang satu pelanggaran antara dua bot pelesiran pada 2 Mac sekitar 1.30 petang dan misi mencari sedang dijalankan.

MPA berkata lima penumpang telah terjatuh. Empat daripada mereka berjaya diselamatkan, namun seorang masih hilang.

MPA telah mengerahkan sebuah bot ronda ke kawasan itu dan sedang menyelaras usaha mencari dengan bantuan Polis Pengawal Pantai (PCG) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Ia juga telah mengeluarkan siaran pengemudian kepada kapal-kapal di kawasan itu untuk memantau sesiapa yang berada dalam kawasan perairan.

BH sedang mendapatkan maklumat lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg