Rancangan pengurusan burung merpati yang dirintis di tiga kawasan majlis bandaran telah membuahkan hasil, dengan populasi burung tersebut kini menurun sekitar 50 peratus.
Menteri Negara Kanan, Encik Tan Kiat How, mengumumkan pada 20 Mei bahawa fasa seterusnya akan dilaksanakan di tiga lagi kawasan selama enam hingga sembilan bulan.
Kawasan yang dipilih adalah Jalan Besar, Marsiling-Yew Tee, dan Nee Soon, setelah mempertimbangkan faktor seperti populasi burung merpati, dan maklum balas penduduk, lapor The Straits Times.
Jika berjaya, rancangan itu berpotensi diperluas ke seluruh Singapura, tambahnya.
Menurut Lembaga Taman Negara (NParks), projek perintis itu telah dijalankan dari Julai 2024 hingga Mac 2025, dengan kerjasama majlis bandaran, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Agensi Makanan Singapura (SFA) dan orang awam untuk menguruskan populasi burung merpati serta meningkatkan pendidikan awam dan pengurusan masyarakat.
Maklum balas berkaitan burung merpati di kawasan tersebut ialah 34 peratus lebih rendah daripada jangkaan antara Oktober 2024 dengan Mac 2025, kata Encik Tan.
Burung merpati batu bukan spesies asli Singapura, tetapi telah menyesuaikan diri dengan persekitaran bandar dan sering bersarang berhampiran kawasan kediaman akibat ketersediaan makanan manusia, yang menimbulkan masalah kebersihan dan risiko kesihatan.
Memandangkan burung merpati batu mempunyai kadar pembiakan yang sangat tinggi dan sedikit pemangsa semula jadi di Singapura, populasinya perlu diuruskan secara aktif, tambah NParks.
Sebagai sebahagian daripada pelan percubaan, agensi-agensi meningkatkan usaha dalam beberapa aspek, termasuk memperbaiki pengurusan sampah dan sisa makanan di pusat tong sampah dan premis makanan, serta mengedarkan bahan pendidikan kepada pengusaha gerai makanan.
NParks berkata pengendali makanan telah memasang penutup pelindung pada kabinet makanan dan rak dulang, serta menempatkan pembersih berhampiran rak untuk mempercepatkan pembersihan.
Tindakan penguatkuasaan juga diambil terhadap 50 kes pemberian makanan haram kepada merpati, selepas pemantauan maklum balas dan pengawasan melalui kamera litar tertutup.
Dalam kes pesalah berulang atau mereka yang memerlukan sokongan kesihatan mental, NParks akan bekerjasama dengan Agensi Penjagaan Bersepadu, majlis bandaran, Pejabat Perkhidmatan Perbandaran, dan Persatuan Rakyat untuk memahami motivasi mereka, membetulkan salah faham, dan menggalakkan mereka mengelak daripada memberi makan burung.
Mereka akan digalakkan supaya menyertai aktiviti berasaskan alam, seperti berkebun dan pemerhatian burung.
Individu yang memerlukan sokongan kesihatan mental akan dirujuk kepada perkhidmatan kaunseling.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg