Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha kumpul dana mencabar, namun HGEF akan teruskan usaha taja pendidikan anak pesalah dadah

Feb 10, 2022 | 5:30 AM
TERUSKAN USAHA: Cik Haslinda (kanan) berharap dapat terus membawa kesedaran tentang nasib anak penagih atau bekas penagih dadah kepada orang ramai menerusi pameran 'Rindu'. - Foto HGEF
TERUSKAN USAHA: Cik Haslinda (kanan) berharap dapat terus membawa kesedaran tentang nasib anak penagih atau bekas penagih dadah kepada orang ramai menerusi pameran 'Rindu'. - Foto HGEF -

MASIH terdapat keperluan dalam membantu anak-anak penagih atau bekas penagih dadah, terutama dalam situasi pandemik Covid-19 ini.

Sebagai antara penggerak utama terhadap usaha ini, Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) berhasrat terus mendekati dan membantu anak-anak ini dari segi menyokong mereka dengan perbelanjaan pendidikan mereka.

Demikian menurut Setiausaha Kehormat HGEF, Cik Haslinda Putri Harun, kepada Berita Harian (BH).

"Selepas 16 tahun, kami merasakan bahawa masih ada keperluan membantu kanak-kanak ini dan keluarga mereka.

"Meskipun kami masih mampu menyediakan bantuan kewangan ini untuk sekitar tiga tahun lagi, jawatankuasa HGEF telah membuat keputusan mengumpul lebih banyak dana agar dapat terus membantu kanak-kanak ini, menjangkaui tiga tahun itu," kata beliau.

Sejak ditubuhkan pada 2005, HGEF telah menyediakan bantuan kewangan kepada anak penagih atau bekas penagih dadah bagi pendidikan mereka. Sepanjang masa itu, ia telah mengagihkan lebih $660,000 dalam bentuk dermasiswa kepada hampir 4,000 pelajar di sini.

Dermasiswa HGEF dianugerahkan kepada pelajar daripada semua peringkat usia dengan matlamat mendorong anak penagih atau bekas penagih dadah ini belajar hingga peringkat posmenengah.

HGEF diasaskan sebagai usaha mengenang jasa mantan setiausaha politik (Ehwal Dalam Negeri), Allahyarham Harun Abdul Ghani yang giat berusaha memerangi gejala dadah dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam semasa hayatnya.

Baru-baru ini, HGEF berjaya menganjurkan sebuah pameran seni yang bertajuk 'Rindu' yang diadakan di Pusat Pendidikan Seni Keppel di Galeri Nasional Singapura.

Pameran tersebut mengetengahkan 65 karya seni seramik yang dihasilkan oleh anak-anak pesalah dadah, pengasuh dan sukarelawan mereka. Karya yang unik itu, masing-masing mempunyai kisah tersendiri di sebalik rekaannya.

Dengan kerjasama badan bukan untung, Ray of Hope (ROH), pameran tersebut merupakan sebahagian daripada usaha mengumpul dana HGEF yang diperkenalkan hujung tahun lalu.

Menerusi kempen yang bertemakan, 'Membina Semula Kehidupan Menerusi Pendidikan', HGEF berharap dapat mengumpul sekitar $100,000 menjelang akhir tahun ini.

Menurut Cik Haslinda sebelum ini HGEF telah menyasarkan mengumpul $300,000, namun melihat pada keadaan sekarang, mereka mengambil keputusan mengurangkan jumlah itu.

"Kami pada mulanya meletakkan jumlah asal itu kerana telah menetapkan tempoh lima tahun lagi untuk terus membantu para pelajar ini.

"Namun disebabkan pandemik ini, saya sedar bahawa kami mungkin telah menetapkan sasaran yang terlalu tinggi dan ia mungkin sukar mengumpul jumlah tersebut.

"Alhamdulillah sejauh ini kami telah pun mengumpul lebih daripada 40 peratus hasil sumbangan ikhlas orang ramai menerusi laman derma kami " ujar beliau merujuk kepada laman https://rayofhope.sg/campaign/hgef-rebuildinglives/.

Memandang ke hadapan Cik Haslinda berkongsi bahawa HGEF sedang dalam perancangan membawa pameran karya seni seramik 'Rindu' ke kawasan kejiranan utama.

Beliau berkata:

"Kami ingin membawa pameran ini di kawasan kejiranan kerana ingin mendekatkannya dengan orang ramai.

"Menerusi usaha ini, kami berharap dapat mewujudkan kesedaran di kalangan orang ramai tentang usaha HGEF serta nasib anak penagih atau bekas penagih dadah ini."

"Selepas 16 tahun, kami merasakan bahawa masih ada keperluan membantu kanak-kanak ini dan keluarga mereka. Meskipun kami masih mampu menyediakan bantuan kewangan ini untuk sekitar tiga tahun lagi, jawatankuasa HGEF telah membuat keputusan mengumpul lebih banyak dana agar dapat terus membantu kanak-kanak ini, menjangkaui tiga tahun itu." - Setiausaha Kehormat HGEF, Cik Haslinda Putri Harun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg