BADAN agama seperti masjid adalah antara tempat tumpuan anggota masyarakat untuk mendapatkan bantuan.
Bagi memastikan sokongan lebih menyeluruh dapat diberikan kepada keluarga memerlukan di sini, Ustaz Muhammad Hafiz Abdul Rashid, mantan Pengerusi Eksekutif Masjid Assyakirin, memastikan pegawai khidmat sosial masjid itu dilengkapi pengetahuan dan kemahiran untuk memberi sokongan kepada mereka yang terjejas akibat keganasan keluarga dan rumah tangga.
Ustaz Hafiz berkata, beliau terdorong melakukan demikian semasa bertemu salah seorang benefisiari zakat di masjid itu yang mengalami keganasan keluarga.
Atas usahanya itu, beliau antara 11 individu dan pasukan yang diiktiraf kerana menunjukkan perkhidmatan dan komitmen cemerlang dalam pengurusan keluarga kes keganasan melalui Anugerah Penghargaan Kumpulan Dialog Keganasan Keluarga (FVDG) baru-baru ini.
Mengimbas usaha yang dilakukannya, Ustaz Hafiz, yang kini Superintenden Kelompok Masjid Selatan, berkata ada pasangan yang ditemuinya mempunyai pemahaman salah tentang naratif agama Islam.
Ini khususnya dalam hal peranan seorang suami dan isteri dalam rumah tangga.
"Pendera itu berkata Islam membenarkan beliau sebagai seorang suami dan bapa memukul anak dan isterinya sebagai cara untuk mendisiplinkan mereka.
"Walaupun keadaan sudah menjadi keterlaluan, isterinya yang didera pula tidak meminta diceraikan kerana beliau percaya bahawa suaminya merupakan jodohnya dan beliau harus mengharungi cabaran tersebut untuk masuk syurga.
"Apabila saya mendengar cerita seperti ini, saya tidak terfikir bahawa ini merupakan masalah yang agak biasa terjadi.
"Sebagai seorang ustaz, saya rasa malu dan sedih kerana tidak dapat menyampaikan naratif agama yang betul," kata Ustaz Hafiz.
Peristiwa seperti itu mendorongnya menggembleng tenaga di antara kakitangan masjid serta agensi-agensi tertentu untuk memastikan masyarakat Melayu/Islam tidak terjejas dengan isu keluarga dan keganasan rumah tangga.
Sejak 2019, Ustaz Hafiz telah berkolaborasi bersama rumah kebajikan Casa Raudha dalam usahanya mendekati keluarga Melayu/Islam dalam masyarakat.
Melalui kerjasama itu, beliau telah menerima sokongan untuk memperkasakan asatizah dan kakitangan di Masjid Assyakirin dengan pengetahuan dan kemahiran yang betul untuk menyokong keluarga yang terkesan kerana keganasan keluarga.
Beliau juga telah menganjurkan beberapa perbincangan kumpulan fokus pada 2019 dan 2020 yang melibatkan 16 masjid dalam kelompok masjid barat di mana peserta melibatkan diri dalam cadangan bersama, bagi menangani isu keganasan keluarga.
Perbincangan itu turut disertai karyawan, termasuk peguam dan pemimpin agama seperti naib kadi dan Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC) di kawasan Jurong.
Katanya, antara isu terbesar yang menyebabkan keganasan dalam keluarga adalah interpretasi salah terhadap naratif agama, ekonomi keluarga dan juga pendidikan keluarga yang positif.
Dengan tekad untuk mengekang keganasan rumah tangga, Masjid Assyakirin merupakan badan agama pertama yang diundang menyertai Kumpulan Kerja Keganasan Keluarga (FVWG).
Menekankan peranan golongan asatizah dalam mengekang keganasan keluarga, Ustaz Hafiz berkata:
"Masjid kini menjadi salah satu tempat di mana ia selesa untuk para jemaah atau penduduk di kawasan itu untuk meminta bantuan.
"Oleh itu ia menjadi penting bagi masjid dan asatizah tampil ke hadapan apabila kita dapat tahu antara punca atau sebab-sebab keganasan berlaku apabila mereka salah interpretasi naratif agama."
Kini Ustaz Hafiz merancang melancarkan gerakan SM Cares atau 'South Mosque Cares' yang akan melibatkan 20 buah masjid.
"Kami berempati dengan keadaan mereka dan mahu menjadi rangkaian di mana keluarga-keluarga ini boleh tampil ke hadapan tanpa segan silu.
"Kami berharap masjid-masjid dapat menjadi tempat mereka mencari ketenangan. Bukan sahaja masjid, malah tempat-tempat ibadah lain di sini juga," ujarnya.
Menjelang hujung tahun depan, Ustaz Hafiz berkata satu simposium sulung berbilang kepercayaan mengenai keganasan keluarga dan rumah tangga akan diadakan.
"Kami berempati dengan keadaan mereka dan mahu menjadi rangkaian di mana keluarga-keluarga ini boleh tampil ke hadapan tanpa segan silu.
Kami berharap masjid-masjid dapat menjadi tempat mereka mencari ketenangan. Bukan sahaja masjid, malah tempat-tempat ibadah lain di sini juga." - Ustaz Muhammad Hafiz Abdul Rashid, penerima Anugerah Penghargaan Kumpulan Dialog Keganasan Keluarga (FVDG).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg