LEBIH banyak usaha akan dilakukan untuk memastikan rawatan bagi kesihatan mental kekal dimampui warga Singapura, kata Menteri Negara Kanan (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan) Dr Janil Puthucheary.
Kementerian Kesihatan (MOH) juga akan bekerjasama dengan syarikat insurans dan pihak berkepentingan lain untuk memaksimumkan liputan dasar insurans.
Beliau berkata demikian dalam memberikan respons kepada Cik Nadia Samdin (GRC Ang Mo Kio), yang bertanya sama ada pemerintah boleh bekerjasama dengan syarikat insurans swasta untuk menyediakan liputan menyeluruh bagi kesihatan mental.
Cik Nadia berkata ramai yang telah membangkitkan keprihatinan berkaitan rekod kesihatan mental yang seharusnya dirahsiakan di institusi penjagaan kesihatan awam.
"Masih ada segmen masyarakat yang takut...rekod mereka boleh diakses oleh agensi pemerintah dan juga majikan," katanya.
"Oleh itu, mereka menangguhkan proses meminta bantuan kerana tidak mampu mendapatkan bantuan dari (institusi) swasta," katanya.
Menurut Dr Janil, semua rekod kesihatan seharusnya dirahsiakan oleh pengamal perubatan, tidak kira sama ada dalam sektor awam atau swasta.
Terdapat banyak undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan untuk melindungi maklumat tersebut, tambahnya.
Dalam pada itu, Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) Cik Raeesah Khan (GRC Sengkang) menyatakan bahawa had pengeluaran dana Medisave bagi penggunaan rawatan kesihatan mental lebih rendah berbanding rawatan lain.
Beliau bertanya sama ada MOH boleh menyemak had tersebut supaya lebih setara.
Buat masa kini orang ramai boleh menggunakan sehingga $550 sehari dari akaun Medisave mereka bagi rawatan akut di hospital namun hanya hingga $150 bagi rawatan psikiatri.
Cik Raeesah juga bertanya sama ada pemerintah mempunyai rancangan untuk membina institusi psikiatri tinggi lain- selain Institut Kesihatan Mental (IMH)- memandangkan pandemik Covid-19 telah meningkatkan lagi isu kesihatan mental di Singapura.
Menurut Dr Janil, Pasukan Bertindak Kesejahteraan Mental Covid-19 serta pasukan bertindak antara agensi berkaitan kesihatan mental, sedang mempertimbang penyediaan infrastruktur untuk memenuhi keperluan Singapura.
"Sama ada hospital tambahan diperlukan, ini satu kemungkinan...Ia bukan satu-satunya isu yang sedang dikaji," tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg