Topik diikuti
Pergi ke BHkuUsaha relawan muda diiktiraf selepas lebih sedekad damping warga emas, bimbing belia
Usaha relawan muda diiktiraf selepas lebih sedekad damping warga emas, bimbing belia
Sering kali, kerja sukarela dilakukan secara senyap, di sebalik tabir dan jauh daripada perhatian.
Kadang kala, usaha relawan tersebut diiktiraf, seperti dalam kisah Encik Saifudin Arif, 28 tahun, yang sudah lebih sedekad membantu warga emas, membimbing sukarelawan belia serta menjaga remaja lelaki di sebuah rumah kanak-kanak.
Beliau menerima Anugerah Belia Inspirasi pada Majlis Makan Malam Penghargaan Anugerah ‘Singapore Silent Heroes’ 2026 di Shangri-La Singapore pada 19 September.
“Bagi saya, ia satu keistimewaan untuk dicalonkan dan dipertimbangkan kerana saya rasa tidak kira menang atau tidak, saya bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada pengalaman ini.
“Ini bukan soal menang. Saya mahu menyimpan pengalaman ini dekat di hati dan sentiasa bersyukur atas pengalaman yang diberikan kepada saya, serta peluang untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dan meningkatkan kesedaran tentang pelbagai perkara yang saya perjuangkan,” katanya dalam satu wawancara dengan Berita Harian (BH).
Encik Saifudin telah memainkan pelbagai peranan termasuk sebagai pendamping warga emas dan mentor kepada belia sepanjang pengalaman lebih 11 tahun menjadi sukarelawan.
Beliau juga telah meraih bermacam kemahiran yang kini dimanfaatkannya dalam kerjaya sepenuh masa sebagai eksekutif program dan pakar belia di sebuah badan bukan meraih keuntungan (NPO).
“Apabila bekerja dengan warga emas, saya mengasah kemahiran dalam penjagaan warga emas. Apabila saya bekerja dengan belia, mengendalikan program pembelajaran dan memimpin sukarelawan yang menjadi rakan pendamping, saya memperoleh kemahiran memudah cara.
“Kemahiran hubungan sesama manusia (interpersonal) yang saya peroleh ini mendorong saya menyertai bidang perkhidmatan sosial,” katanya.
Dalam pekerjaannya kini, Encik Saifudin membantu belia yang mungkin berdepan masalah atau memerlukan perlindungan akibat isu domestik, yang kadangkala memerlukan pendekatan lebih tegas dalam mengurus tingkah laku mereka.
Pada masa yang sama, beliau turut menjaga sekumpulan remaja lelaki di sebuah rumah kanak-kanak, dengan lebih 19 penghuni berusia antara 10 hingga 18 tahun yang perlu diuruskan bersama seorang lagi anggota kakitangan.
Tanggungjawabnya merangkumi memastikan mereka menghadiri janji temu dengan pekerja sosial dan ahli psikologi, mengurus permintaan seperti masa belajar atau makanan ringan, memberikan perkembangan terkini kepada pihak atasan serta memantau tingkah laku yang tidak sesuai antara penghuni, termasuk ketika mereka bergurau atau bermain secara kasar.
“Bekerja dengan kanak-kanak sememangnya jauh lebih mencabar disebabkan tenaga mereka dan keperluan mereka, dan saya rasa perhatian yang perlu kita berikan kepada kanak-kanak juga jauh lebih khusus dan mendalam,” ujarnya.
Bagi kanak-kanak yang lebih muda, khususnya mereka yang berusia antara 10 dengan 13 tahun, cabarannya turut terletak pada usaha memahami keadaan yang mereka lalui.
“Golongan 10 hingga 13 tahun paling sukar kerana mereka sendiri tidak tahu mengapa mereka berada di situ,” katanya.
Para penghuni itu juga datang daripada latar belakang keluarga yang berbeza. Ada yang daripada keluarga berpendapatan rendah, manakala ada juga yang daripada keluarga yang lebih berada.
Sesetengah mereka pula membesar dalam keadaan fizikal sempit, termasuk keluarga yang mempunyai sehingga 12 anggota yang menetap dalam flat satu bilik, sebelum perlu menyesuaikan diri dengan struktur dan rutin di rumah kanak-kanak tersebut.
“Budak-budak ini sentiasa rasa mereka tidak difahami. Jadi apabila kami bekerja dengan mereka, mereka biasanya mempunyai banyak pendapat dan ini cenderung menimbulkan perselisihan,” katanya.
Keadaan itu membuat Encik Saifudin sedar bahawa tugas sebagai pakar belia bukan sekadar menetapkan peraturan atau mendisiplinkan penghuni, sebaliknya memerlukan keseimbangan antara ketegasan, bimbingan dan sokongan emosi.
“Sebagai pakar belia, ada empat sifat yang perlu kita miliki. Pertama, kita perlu menjadi seorang pendisiplin untuk mendisiplinkan budak-budak, mengurus tingkah laku mereka dan menangani sebarang kejadian.
“Kita perlu menjadi mentor yang baik kepada mereka, menjadi teladan dan jurulatih yang baik.
“Kita juga perlu menjadi kaunselor yang baik. Jadi apabila mereka mempunyai masalah atau sedang berasa sedih, bagaimana kita boleh menenangkan mereka dan memberikan nasihat yang sewajarnya?” katanya.
Pendekatannya ketika bekerja dengan warga emas pula berbeza. Ini kerana mendampingi warga emas memerlukan pendekatan yang lebih lembut dan sabar.
Pengalaman bekerja dengan kedua-dua golongan itu mengajarnya untuk menyesuaikan cara berkomunikasi dan memberi sokongan mengikut keadaan serta keperluan individu - satu kemahiran yang turut dibawanya ke dalam kerjaya dalam sektor perkhidmatan sosial.
Kini, beliau sedang mengikuti pengajian separuh masa dalam bidang kerja sosial di Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS) dan berharap dapat mendalami bidang pemulihan pada masa akan datang.