Langkah pemerintah menyusun semula ekonominya lapan tahun lalu demi memastikan ia kekal berdaya saing dan mampu berdepan masa depan yang tidak menentu, kini membawa ganjaran bermakna.
Hasil langkah strategik yang diambil antara 2016 dengan 2023, ekonomi Singapura mencapai pertumbuhan nilai tambah sebenar atau disesuaikan inflasi sebanyak 2.8 peratus setahun, manakala daya penghasilan tenaga kerja naik 2.1 peratus setahun dalam tempoh sama, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat.
“Bagi kedua-dua pertumbuhan nilai tambah dan daya penghasilan tenaga kerja, Singapura menunjukkan prestasi lebih baik sepanjang tujuh tahun lalu berbanding banyak ekonomi maju lain dengan bilangan penduduk yang hampir sama,” dedahnya semasa berucap di majlis pembukaan Sidang Puncak Perniagaan Singapore Apex kedua, pada 23 Julai.
Jelasnya, langkah yang diambil memberi kesan ketara kepada kehidupan dan mata pencarian rakyat, dengan pendapatan median penduduk Singapura yang bekerja sepenuh masa naik 1.5 peratus setahun antara 2016 dengan 2023.
Proses penyusunan semula itu katanya, merangkumi langkah meningkatkan “naluri penakatan” jangka panjang bagi pekerja dan perniagaan tempatan, melibatkan pelan transformasi yang disesuaikan untuk 23 industri, merangkumi 80 peratus ekonomi.
Namun begitu, Encik Heng memberi peringatan, meskipun usaha yang dilakukan telah mengembangkan faedah ekonomi untuk rakyat Singapura secara keseluruhan, kemajuan teknologi, perubahan iklim dan anjakan geopolitik akan terus memberi implikasi besar kepada negara dan masa depannya.
“Satu pengajaran besar untuk kita semua daripada empat tahun pertama dekad ini ialah kita mesti bersedia menghadapi masa depan dengan keadaan sukar diramalkan, gangguan dan perubahan yang berterusan.
“Kita mesti terus berusaha dan meningkatkan rentak transformasi kita untuk meletakkan diri kita bagi ekonomi masa depan sebaik mungkin, bagi memastikan perniagaan dan pekerja kita terus berdaya saing, (selain) terus memperbaiki kehidupan rakyat kita,” jelas beliau yang dilaporkan akhbar The Straits Times.
Di acara tersebut, Encik Heng turut melancarkan satu laporan yang mengisahkan perjalanan transformasi ekonomi Singapura sejak 2016.
Sidang puncak itu, yang diadakan di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands, pertama kali diadakan oleh Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) pada 2022.
Ia bertujuan menangani pelbagai cabaran perniagaan yang kian rumit, seperti gangguan kepada rantaian perdagangan dan bekalan, selain dasar perlindungan perdagangan yang semakin meningkat.
Selain Jawatankuasa Ekonomi Masa Hadapan (CFE) dan Majlis Ekonomi Masa Hadapan (FEC) yang dipimpin pemerintah, serta SBF yang menjadi kunci utama dalam menjayakan transformasi ekonomi negara, Encik Heng turut menggariskan tiga strategi utama dalam memastikan Singapura kekal berdaya saing.
Pertama, Singapura mesti memperkukuh kompak sosialnya.
Kedua, republik ini mesti terus terbuka kepada dunia dan memperdalam kerjasama dengan rakan usaha sama yang berfikiran sehaluan.
Akhir sekali, memandangkan negara ini berhasrat menjadi pangkalan bagi syarikat untuk berhubung, berinovasi, berkembang dan memanfaatkan kemajuan teknologi untuk kebaikan, ia mesti membina keupayaan perusahaan jangka panjang dengan melabur dalam penyelidikan dan pengembangan (R&D).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg