Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha tangani pesalah dadah, banduan bentan Melayu-Islam boleh dipergiat: Faishal

Jul 22, 2023 | 8:07 PM
PERBINCANGAN JUJUR: Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri) bersama pengerusi Yayasan Warisan Melayu (MHF) Dr Norshahril Saat berbincang mengenai isu dadah dan banduan bentan dalam edisi ketiga Siri Cendekiawan Lestari.
PERBINCANGAN JUJUR: Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri) bersama pengerusi Yayasan Warisan Melayu (MHF) Dr Norshahril Saat berbincang mengenai isu dadah dan banduan bentan dalam edisi ketiga Siri Cendekiawan Lestari. - Foto BH oleh NUR SYUHRAH HASSAN

Jumlah penyalah guna dadah baru Melayu yang diberkas pada 2021 dan 2022 tidak lagi merangkumi kumpulan terbesar penyalah guna dadah baru keseluruhan, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Perkembangan itu menunjukkan kemajuan yang dicapai menerusi usaha seluruh masyarakat untuk menangani dadah, kata Dr Faishal lagi.

Namun, usaha masih perlu dipergiat bagi meraih pencapaian berterusan, terutama dalam mengurangkan perwakilan Melayu dalam perangkaan penyalah guna dadah keseluruhan dan mengurangkan kadar kebentanan lima tahun, kata beliau.

“Meskipun terdapat kemajuan, masih ada banyak lagi yang perlu dilakukan untuk menangani isu ini kerana golongan Melayu yang menyalah guna dadah masih terlalu tinggi berbanding jumlah Melayu keseluruhan di sini,” ujar Dr Faishal.

Merujuk kepada Banci Singapura 2020, Dr Faishal berkata golongan Melayu membentuk sekitar 14 peratus penduduk di Singapura. Namun, data menunjukkan pesalah dadah Melayu-Islam sekitar tiga ganda peratusan itu berbanding masyarakat lain.

Beliau berkata demikian semasa bercakap mengenai usaha masyarakat Melayu dalam menentang salah guna dadah di acara Siri Cendekiawan Lestari pada Sabtu.

Acara itu, yang dianjurkan oleh Yayasan Warisan Melayu (MHF), diadakan di Wisma Geylang Serai.

“Statistik (berhubung dadah) Melayu-Islam semakin baik. Tetapi, usaha untuk meneruskan kejayaan ini tidak mudah. Justeru itu, kami harus teruskan perjalanan untuk memperbaiki keadaan,” tambah Dr Faishal yang juga menekankan tentang penting program-program nuansa budaya dalam membendung penyalahgunaan dadah.

Dr Faishal menekankan peri penting mempunyai program antidadah holistik yang disesuaikan mengikut budaya.

Beliau memberi contoh program Rangkaian Pemulihan Pertubuhan Melayu-Islam (MMO) yang merangkumi program seperti Dadah Itu Haram yang bertujuan mengekang penularan dadah di peringkat lebih awal dan (Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga) Fitrah, yang memberikan sokongan kepada pesalah dan keluarga mereka semasa mereka ditahan dan selepas mereka dibebaskan.

Buat masa ini, Rangkaian Pemulihan MMO dibentuk 26 anggota dan 11 bandar MkuasaTiga (M3) M3@Towns, sementara Fitrah, yang dikendalikan bersama oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah membantu lebih 300 keluarga dan disokong semua 71 masjid.

Menyentuh kadar kebentanan pesalah Melayu pula, Dr Faishal berkata walapun kadar bentan dua tahun telah bertambah baik, daripada 48.4 peratus pada 2001, kepada 24.7 peratus pada 2020, kadar banduan bentan lima tahun mencetus keprihatinan.

Kadar banduan bentan 24.7 peratus pada 2020 menunjukkan sekitar dua daripada 10 banduan yang dibebaskan dipenjarakan kembali dalam tempoh dua tahun selepas dibebaskan.

Akhbar ini pernah melaporkan kadar kebentanan lima tahun, bagi kohort banduan yang dibebaskan pada 2016 ialah 41 peratus. Ini bermakna empat daripada 10 banduan yang dibebaskan pada 2016 kembali dipenjarakan dalam masa lima tahun selepas dibebaskan.

“Saya ingin memperbaiki kadar banduan bentan lima tahun bagi masyarakat Melayu-Islam, supaya mereka boleh bebas dengan tempoh yang lebih lama dan meluangkan lebih masa bersama keluarga.

“Pemerintah sahaja tidak boleh melakukan ini sendiri, maka kami perlukan sokongan daripada masyakat,” kata Dr Faishal.

Pengerusi MHF, Dr Norshahril Saat berkata beliau berbesar hati kerana Dr Faishal berkongsi isu yang dihadapi masyarakat di sesi pertama edisi ketiga Siri Cendekiawan Lestari itu.

“Berbincang mengenai warisan, ramai yang akan mengaitkan dengan isu dan barangan lama dan seringkali terlepas pandang aspek warisan kehidupan.

“Dengan tumpuan ini kami tampilkan tokoh-tokoh kita untuk berikan pandangan dan kemudian merakamnya lalu mengongsi untuk perbahasan generasi seterusnya.

“Topik hari ini adalah satu perbincangan dan isu yang baik di mana kita dapat kedepankan warisan kehidupan yang dekat dengan isu masyarakat Melayu dan yang lebih penting kami menyediakan diskusi dan wacana,” kata Dr Norshahril, yang juga merupakan Zamil Kanan Iseas-Institut Yusof Ishak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg