Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha ubah barang terpakai agar berguna dilancar di Kolam Ayer

Dec 3, 2023 | 4:16 PM
USAHA MENGHIJAU: Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (duduk, kiri) dan Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah (duduk, dua dari kiri) belajar cara membuat beg beli-belah menggunakan kemeja-T terpakai di Blok 68 Geylang Bahru,pada 3 Disember.
USAHA MENGHIJAU: Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (duduk, kiri) dan Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah (duduk, dua dari kiri) belajar cara membuat beg beli-belah menggunakan kemeja-T terpakai di Blok 68 Geylang Bahru,pada 3 Disember. - Foto ZAOBAO

Penduduk di Kolam Ayer boleh menerapkan ciri-ciri gaya hidup mampan dengan lebih mudah dalam kegiatan harian mereka.

Satu projek baru, ‘Trash to Treasure’ yang antara lain bertujuan menunjukkan mereka cara menyesuaikan barangan terpakai menjadi barangan lain yang memberi manfaat, telah dilancarkan pada 3 Disember.

Antara lain, penduduk diberi panduan menyesuaikan kemeja-T terpakai menjadi beg beli-belah.

Program itu diumumkan oleh Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah dan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang mengadakan lawatan menteri di Kolam Ayer pada 3 Disember.

Dr Wan Rizal, berkata: “Memupuk tabiat gaya hidup mampan memerlukan usaha besar – bukan hanya dari kami di Kolam Ayer, malah di seluruh Singapura. Kami ingin menyokong usaha itu.

“Kami mahu menyebar lebih luas mesej kemampanan dan juga mendapatkan penyertaan orang ramai. Mempertingkat kesedaran adalah tahap pertama tetapi kami benar-benar percaya adalah penting bagi pihak awam melibatkan diri dan menjayakan usaha ini bersama-sama.”

Singapura telah menetapkan matlamat menjadi negara lebih mesra alam menerusi Pelan Hijau 2030.

Projek ‘Trash To Treasure’ juga bertujuan mengurangkan sisa dengan cara mengitar semula barangan terpakai dan menggunakan semula barang yang tidak diingini.

Penduduk boleh menyumbang kemeja-T terpakai mereka kepada bengkel yang dianjurkan. Justeru, relawan Rangkaian Kitar Semula Warga Tua (SUN) akan membimbing peserta bengkel dalam usaha menyesuaikan kemeja-T menjadi beg ‘tote’ atau beg jinjing yang boleh digunakan semasa beli-belah.

Peserta juga akan diajar cara menghias beg tersebut menggunakan barangan makanan seperti sayur bendi.

Beg jinjing itu kemudian diletakkan di sudut masyarakat di Blok 68, Geylang Bahru dan penduduk boleh menggunakannya untuk menggantikan beg plastik apabila membeli-belah.  

Dalam pada itu, selain menyertai projek kemampanan tersebut, penduduk di Kolam Ayer juga menyertai kegiatan gaya hidup sihat yang dianjurkan sempena Hari Kesejahteraan Kolam Ayer pada 3 Disember.

Bagi membawa amalan sihat lebih dekat kepada penduduk, aktiviti seperti sesi bersenam, demonstrasi masakan sihat oleh cef tempatan dan pemeriksaan kesihatan kendalian jururawat masyarakat dianjurkan.

Program itu, yang bermula pada November 2022, ingin menggalak penduduk menjaga kesejahteraan mereka secara holistik dan proaktif, dengan menyokong mereka menjalani kehidupan lebih sihat.

Ia hasil kerjasama relawan M3@Jalan Besar, Rangkaian Penduduk Kolam Ayer Kallang Bahru, Rangkaian Penduduk Geylang Bahru dan Jawatankuasa Eksekutif Warga Tua Kelab Masyarakat Kolam Ayer.

Antara relawan yang melibatkan diri pada 3 Disember ialah Encik Yurihan Johari, 37 tahun, yang berpengalaman 13 tahun dalam kejururawatan.

Hasil inisiatifnya sendiri, The Unconventional Nurse, beliau mengumpulkan sekitar 18 jururawat untuk menjadi relawan dan menjalankan pemeriksaan kesihatan kepada penduduk Kolam Ayer.

Matlamatnya adalah menyatukan jururawat daripada pelbagai latar belakang sambil menggunakan kepakaran mereka untuk membantu masyarakat.

“Kami ingin menyebar kesedaran bahawa meskipun kami jururawat di tempat kerja, kami juga dapat meluangkan masa menjadi relawan dan menyumbang kembali kepada masyarakat,” kata Encik Yurihan, pengurus kes di IHH Healthcare.

Selain panduan menjaga kesihatan dan mengikuti gaya hidup lebih mampan, sekitar 300 penduduk Kolam Ayer yang lebih memerlukan juga mendapat habuan barangan runcit dan keperluan lain yang dipilih mereka di acara itu.

Mereka menyertai program Kolam Ayer Cares yang telah membantu keluarga susah sejak dimulakan pada April 2021 di kejiranan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg