Dalam era kecerdasan buatan (AI), sesetengah perkara perlu disimpan secara peribadi tanpa diuar-uarkan di media sosial, kata pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) firma teknologi, Parrot Social, Cik Hamidah Aidillah Mustafa.
Setelah mengendalikan sebuah agensi media sosial dan analitik selama tujuh tahun, Cik Hamidah, 40 tahun, telah mempelajari peri pentingnya berwaspada dalam apa jua yang dikongsi dalam talian.
Beliau juga belajar bahawa tidak semua yang dipaparkan di media sosial mencerminkan realiti sebenar.
Namun begitu, beliau juga mengakui kesan positif yang boleh dibawa oleh teknologi mendalam atau ‘deep tech’ dan percaya bahawa penggunaan teknologi, pada akhirnya, bergantung kepada cara ia dikendalikan oleh manusia.
Atas sumbangannya dalam industri teknologi dan analitik, Parrot Social telah diiktiraf dengan Anugerah Semangat Keusahawanan atau Spirit of Enterprise (SOE) bagi Kategori Syarikat Mapan pada 27 Oktober di Hotel The Ritz-Carlton, Millenia Singapore.
Anugerah tahunan itu mengiktiraf seramai 53 usahawan merentas sektor daripada makanan dan minuman (F&B) dan kesihatan, kepada teknologi, seni dan pendidikan, serta pengaruh wanita dan usahawan muda.
Berkongsi lebih lanjut, Cik Hamidah berkata anugerah tersebut adalah “satu pengiktirafan yang amat bermakna” atas segala cabaran dan dugaan yang pernah dihadapi syarikatnya sejak ia ditubuhkan.
Ia juga mengiktiraf usaha syarikatnya dalam membantu perniagaan dan pertubuhan mengenal pasti trend masa hadapan, meningkatkan jualan melalui data pintar, serta memperoleh pelanggan baru melalui pandangan tingkah laku yang dipacu AI, tambahnya.
“Saya bersyukur diberikan Anugerah SOE bagi Kategori Syarikat Mapan atas sumbangan saya dalam industri teknologi dan analitik,” kata Cik Hamidah.
Parrot Social ditubuhkan pada 2018 ketika bidang analitik data dan istilah AI masih belum begitu dikenali ramai, kata Cik Hamidah ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Menurutnya, ketika berkecimpung dalam bidang komunikasi sebelum menubuhkan syarikatnya sendiri, beliau mendapati terdapat keperluan daripada pihak CEO, pengarah dan pihak pengurusan kanan bagi maklumat tambahan dalam pandangan pasaran, perbincangan industri serta penelitian yang relevan.
“Saya terfikir bahawa ini boleh dijadikan satu perniagaan yang baik, terutama sekali ketika itu, AI sedang mula meningkat popularitinya dan semakin difahami oleh orang ramai.
“Maka, saya fikir ia masa yang sesuai untuk menjadi perintis dan memulakan langkah pertama,” ujar beliau.
Antara syarikat yang telah menggunakan kepakaran Parrot Social termasuk Maybank, syarikat biofarmaseutikal, MSD Pharma, dan syarikat automotif elektronik, Desay SV Automotive.
Sebagai sebahagian daripada golongan minoriti wanita dalam bidang AI, beliau akur pengasas wanita yang menerajui firma teknologi adalah sesuatu yang jarang ditemui di Singapura.
Namun, terdapat sokongan wanita untuk sepertinya, yang mungkin berminat mendalami bidang teknologi dan AI.
Selain itu, beliau juga berkhidmat sebagai anggota Majlis Persatuan Syarikat Kecil dan Sederhana (Asme) dan Pusat SME@AiTE, yang ditubuhkan oleh Asme dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
Berkongsi kebanggaannya menganggotai kedua-dua persatuan itu, beliau berkata:
“Teknologi AI Generatif merupakan pemangkin yang menyamaratakan keupayaan, membolehkan SME serantau menghasilkan kerja dengan mutu yang setanding dengan tenaga kerja mahir di Singapura.
“Akibatnya, SME di Singapura ketinggalan dari segi daya saing sejagat disebabkan oleh kos operasi yang lebih tinggi.
“Oleh itu, saya bangga menjadi sebahagian daripada Kumpulan Tindakan AI di Asme yang menumpukan usaha membantu SME Singapura mengadaptasi teknologi GenAI bagi memperkukuh kedudukan mereka.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg