Topik diikuti
Pergi ke BHkuUsahawan bangun platform AI bantu belia rancang hala tuju kerjaya
Bimbing golongan muda teroka pilihan kerjaya seawal usia 14 tahun
Usahawan bangun platform AI bantu belia rancang hala tuju kerjaya
Setelah lebih dua dekad membina kerjaya sendiri dalam sektor teknologi tanpa banyak bimbingan tersusun, Encik Yusup Ngadimin memahami betapa sukarnya menentukan hala tuju masa depan.
Dilahirkan di Indonesia, Encik Yusup melanjutkan pengajian di Malaysia sebelum berpindah ke Kota Singa demi mencari rezeki dalam bidang teknologi maklumat (IT).
Beliau mengakui kekurangan akses kepada pembimbing kerjaya ketika itu menyebabkannya banyak membuat keputusan melalui percubaan dan kesilapan.
“Saya sendiri tidak mempunyai akses kepada ramai pembimbing yang baik ketika mula bekerja.
“Jika kita mendapat bimbingan dan mengetahui hala tuju lebih awal, saya percaya ia dapat membantu kita membuat keputusan kerjaya yang lebih baik,” katanya.
Pengalaman itu mendorong mantan Ketua Pegawai Teknologi (CTO) di syarikat penyedia perkhidmatan dan teknologi maklumat, Ascentis Private Ltd itu membangunkan mimicue.AI, sebuah platform kecerdasan buatan (AI) bagi membantu golongan muda meneroka pilihan kerjaya seawal usia 14 tahun.
Platform itu dibangunkan oleh Uthoppia House, sebuah syarikat yang turut diasaskan Encik Yusup, dan dilancarkan secara rasmi pada Julai 2025 bagi membantu pengguna mengenali potensi diri dan merancang hala tuju kerjaya dengan lebih yakin.
Usaha Encik Yusup, 47 tahun, mendapat pengiktirafan apabila beliau menjadi antara usahawan yang diraikan dalam Anugerah Semangat Keusahawanan atau ‘Spirit of Enterprise (SOE) Awards’ 2026 pada 5 November.
Majlis yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, itu mengiktiraf ketabahan, inovasi dan sumbangan usahawan daripada pelbagai industri serta peringkat perkembangan perniagaan.
Mengimbau kembali pengalaman membangunkan platform itu, beliau berkata idea tersebut tercetus apabila beliau mendapati ramai rakan sekerja, termasuk anggota pasukannya sendiri, masih kabur tentang hala tuju kerjaya mereka.
“Saya sedar ramai orang sebenarnya masih tercari-cari hala tuju kerjaya mereka. Malah, apabila ditanya apakah yang ingin dicapai, ramai tidak dapat memberikan jawapan jelas.
“Ketika bekerja dalam dunia korporat, saya berpeluang menggunakan pelbagai kaedah penilaian personaliti, bimbingan dan pembangunan kepimpinan.
“Namun, saya tertanya-tanya mengapakah peluang sebegini hanya diberikan apabila seseorang sudah meningkat dalam kerjaya, dan bukan ketika mereka masih belajar,” katanya.
Menjelaskan lanjut, Encik Yusup berkata platform itu menggunakan maklumat latar belakang dan penilaian personaliti pengguna untuk mengenal pasti kekuatan mereka.
Ia kemudian membandingkan profil pengguna dengan 40,000 individu daripada pelbagai bidang dan mencadangkan laluan kerjaya serta kemahiran yang boleh dipelajari.
Pengguna turut boleh merancang langkah pembelajaran dan menilai perkembangan diri menerusi platform tersebut.
Perkhidmatan asas mimicue.AI ditawarkan secara percuma bagi membolehkan lebih ramai pelajar mencubanya.
Namun, perjalanan membangunkan perniagaan sendiri bukan tanpa cabaran.
Walaupun berpengalaman menghasilkan produk teknologi, Encik Yusup mengakui beliau kurang pengetahuan dalam bidang pemasaran dan penjualan.
Maka, nasihat daripada sekitar 20 hingga 30 pembimbing turut didapatkan bagi mengembangkan perniagaannya.
“Saya tahu cara menghasilkan produk, tetapi tidak tahu bagaimana hendak menjualnya.
“Sebagai usahawan, saya perlu mempelajari pelbagai perkara baharu, daripada pemasaran dan kewangan hingga pengurusan perniagaan,” katanya.
Bagi Encik Yusup, pengiktirafan SOE itu menjadi dorongan untuk meneruskan perjuangannya, meskipun perjalanan sebagai usahawan adakalanya terasa sunyi.
“Menjadi usahawan bukan sesuatu yang mudah, malah kadangkala terasa seperti berjuang sendirian.
“Pengiktirafan ini memberi semangat kepada kami untuk terus berusaha dan tidak mudah berputus asa,” ujarnya.
Melangkah ke hadapan, beliau berharap dapat memperluas penggunaan mimicue.AI melalui kerjasama dengan sekolah, program bimbingan dan kegiatan masyarakat.
“Harapan saya adalah untuk membantu seramai mungkin golongan muda supaya mereka tidak tercari-cari arah dalam membuat keputusan kerjaya.
“Saya ingin mereka lebih memahami kekuatan diri dan mempunyai keyakinan untuk menentukan masa depan masing-masing, tanpa perlu melalui terlalu banyak percubaan dan kesilapan seperti yang pernah saya alami,” tambahnya.