Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usahawan gagal henti tindakan muflis atas hutang $34j

Sep 16, 2024 | 12:51 PM
Cik Yap Shiaw Wei memiliki 18 hartanah di Orchard Road dengan 13 di Centrepoint Orchard dan lima di Midpoint Orchard.
Cik Yap Shiaw Wei memiliki 18 hartanah di Orchard Road dengan 13 di Centrepoint Orchard dan lima di Midpoint Orchard. - Foto ST

Seorang usahawan yang memiliki 18 hartanah kediaman, runcit dan komersial di Orchard Road gagal dalam rayuan Mahkamah Tinggi untuk menghalang dua bank daripada mengambil tindakan muflis terhadapnya bagi mendapatkan balik hutang berjumlah lebih $34 juta.

Cik Yap Shiaw Wei, 50 tahun, merancang membayar balik RHB Bank dan CIMB dengan menjual hartanahnya dan hasil daripada perniagaannya, tetapi mahkamah menolak rancangannya pada 10 September.

Ia mengatakan bahawa cadangannya “tidak serius dan tidak berdaya dilaksana dan hanya ingin menangguhkan perkara yang tidak dapat dielakkan”.

Oleh itu, mahkamah tidak membenarkan Cik Yap membuat perjanjian pembayaran balik secara sukarela dengan bank untuk mengelak daripada diisytiharkan muflis.

Dalam keputusannya, mahkamah menetapkan cara ia menilai cadangan pembayaran balik oleh penghutang untuk menangkis tindakan muflis oleh pemiutang.

Keputusan itu dibuat sedang tindakan berkaitan kes muflis semakin meningkat di Singapura.

Data rasmi terkini menunjukkan 2,334 permohonan muflis dibuat dalam enam bulan pertama 2024 – meningkat 25 peratus pada tempoh yang sama pada 2023, manakala 594 telah kemudiannya diisytiharkan muflis, peningkatan sebanyak 11 peratus.

Antara hutang Cik Yap ialah $25.9 juta kepada RHB Bank dan $8.4 juta kepada CIMB.

Pada Februari, CIMB memohon kepada Mahkamah Tinggi supaya Cik Yap diisytiharkan muflis selepas beliau gagal membayar hutang yang perlu dibayar. RHB Bank menyusul pada April.

Disebabkan tindakan dari bank-bank tersebut, Cik Yap membuat permohonan sendiri pada Mei kepada mahkamah untuk mendapatkan lebih banyak masa untuk menyelesaikan hutangnya. Beliau merancang membayar balik bank dalam tiga langkah.

Rancangan Cik Yap ditolak kededua bank. Bank ketiga, Maybank Singapura, yang beliau hutang $13 juta, turut menyertai bantahan itu.

Beliau juga berhutang kepada bank keempat, Resona Merchant Bank Asia, tetapi bank itu tidak mengambil pendirian terhadap usahanya untuk menangkis tindakan muflis.

Tidak puas hati, Cik Yap memfailkan rayuan dan kesnya didengar oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mohamed Faizal pada Ogos.

Pada 10 September, hakim menolak rayuannya.

Hakim berkata bahawa cadangan pembayaran balik Cik Yap “terlalu kabur untuk diberi pertimbangan serius” dan ketelusan penuh “sangat penting untuk mahkamah mempertimbangkan sama ada cadangan itu sebenarnya serius”.

Semasa rayuan, Cik Yap mengejutkan mahkamah dengan dua maklumat baru.

Beliau mendakwa bahawa ketiga-tiga bank itu bukanlah pemiutang terbesarnya dan pemiutang terbesarnya ialah Black Rock Collection, yang bertindak untuk pemiutang dengan hutang lebih $40 juta.

Hakim berkata Cik Yap tidak memberikan bukti untuk menyokong dakwaannya dan jika hutang tambahan bernilai $40 juta itu benar, ia menimbulkan persoalan sama ada beliau telah “sengaja melindungi maklumat dari awal mengenai bilangan pemiutang dan jumlah hutang yang dia ada”.

Cik Yap juga mendakwa kehadiran pelabur “wira” tampil untuk menyelamatkannya, tetapi hakim menyatakan bahawa beliau “tidak mendedahkan tentang identiti dan motivasi ‘wira’ itu”.

Hakim berkata prosiding muflis yang pantas akan mempercepatkan pemulihan sebahagian daripada hutang oleh pemiutang, manakala penghutang boleh menerima permulaan baru untuk membina semula kehidupan mereka tanpa kesusahan yang berpanjangan.

Namun, hakim memberi kata-kata semangat.

“(Cik Yap), dalam perjalanan kehidupan profesionalnya, telah bina kerjayanya dalam kewangan dengan portfolio hartanah utama yang mengagumkan di pusat beli-belah Singapura,” kata beliau.

“Memandangkan latar belakang dan kemampuannya, saya berharap beliau akan bangkit semula kelak,” kata hakim.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg