Topik diikuti
Pergi ke BHkuUsahawan pentingkan nilai manusiawi dalam berniaga, terima anugerah selepas hampir dua dekad
Usahawan pentingkan nilai manusiawi dalam berniaga, terima anugerah selepas hampir dua dekad
Usahawan pentingkan nilai manusiawi dalam berniaga, terima anugerah selepas hampir dua dekad
Selama hampir 20 tahun menerajui syarikat media penerbitan sendiri, pengasas Kaveman Productions Pte. Ltd, Encik Khairul Anuar Ibrahim sering ‘berselindung’ di belakang tabir.
Hal itu bukanlah berpucuk daripada sifat sombong atau malu, tetapi, daripada ketekunannya dan tumpuan yang tidak berbelah bahagi dalam menghasilkan karya yang baik buat kliennya.
Pada masa yang sama, begitulah jua lumrah bagi seorang yang bekerja dalam bidang produksi, menjadi ‘wira senyap’ dan tidak diperasan oleh orang ramai.
Bagi Encik Khairul, 40 tahun, beliau mula menjadi usahawan dalam bidang tersebut dengan niat memberi kesan baik kepada orang lain, khususnya kliennya, di samping menyelesaikan masalah yang bersangkut paut dengan bidang produksi.
Beliau berkata: “Apabila saya mula membuka syarikat sendiri, saya rasa terpanggil untuk melihat bagaimana hasil kerja saya dapat meninggalkan impak yang baik kepada orang lain.
“Ramai yang mungkin akan katakan ‘oh kerja saya hanya sekadar membuat video’. Tapi sebenarnya banyak pertimbangan dan banyak tuntutan yang mencabar dalam bidang ini.
“Jadi bila ada permintaan, saya terdorong dengan rasa tanggungjawab untuk membantu orang dan menepati keperluan mereka.”
Berkat kesungguhan dan ketekalannya dalam bekerja, beliau menjadi salah seorang daripada 59 penerima Anugerah Semangat Keusahawanan atau Spirit of Enterprise (SOE) pada 5 November di The Ritz-Carlton, Millenia Singapore.
Malah, anugerah itu merupakan anugerah pertama yang beliau kecapi sebagai seorang usahawan dan pengasas syarikat Kavemen sejak 2008.
Majlis anugerah itu turut dihadiri Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat.
Bercakap dengan Berita Harian (BH), Encik Khairul berkongsi prinsip utama yang dipegang teguh sepanjang mengemudi syarikatnya adalah untuk sentiasa mengedepankan nilai kemanusiaan dalam menawarkan perkhidmatan.
“Memang apabila saya mulakan kerjaya ini dari awal, meraih apa-apa anugerah atau kemasyhuran itu tidak terlintas dalam fikiran saya. Saya lebih meraih kepuasan apabila dapat memberi perkhidmatan yang baik dan dapat menyenangkan klien saya.
“Selain itu, sebagai seorang usahawan, saya berpegang pada nilai kemanusiaan seperti bersikap adil, jujur dan amanah dalam melaksanakan kerja.
“Dari situ, jika kita laksanakan tugas kita dengan cekap dan jujur, perkhidmatan kita akan dikenali oleh lebih ramai orang,” kata bapa kepada dua anak itu.
Melihat dirinya dan syarikat Kaveman sebagai satu perniagaan kecil yang tidak diketahui ramai pada peringkat awalnya, beliau bersyukur kerana telah dapat berkembang dan menjayakan projek untuk beberapa kementerian.
Malah, dengan hasil kerja yang baik dan boleh dipercayai, Kaveman pernah menjadi rakan kerjasama produksi media bagi acara Chingay selama 10 tahun sejak 2012.
Kejayaan Encik Khairul hari ini bukan sahaja dapat disandarkan pada perkembangan syarikat Kaveman yang ada sekarang.
Ia sebenarnya telah bertitik juga sejak Encik Khairul di politeknik apabila beliau membuka syarikat rakaman video sendiri.
Namun, syarikat tersebut tidak dapat dikembangkan dengan jayanya kerana beliau terpaksa menjalani perkhidmatan negara (NS).
Kini, dengan ilmu keusahawanan yang lebih matang, Encik Khairul yang merupakan lulusan universiti dalam bidang Kejuruteraan Biomedikal, lebih berperanan dalam hal pengurusan dan kewangan bagi syarikatnya itu.
“Saya bersyukur dengan pengiktirafan Anugerah SOE ini.
“Jika dahulu, saya lebih suka berada di belakang tabir dan tidak tampil ke depan.
“Namun, dengan anugerah ini, ia ibarat menjadi satu isyarat bahawa saya dapat menjadi sumber inspirasi dan sokongan kepada usahawan muda Melayu/Islam,” kata beliau.