Pada usia di mana ramai yang mungkin memilih memperlahankan langkah, tiga individu berusia antara 50 dengan 60 tahun memutuskan untuk terus mencabar diri.
Didorong untuk melakukan cabaran sukan ketahanan seperti Ironman dan Spartan, Rafaat Hamzah, 60 tahun, Encik Shamsuri A Rahman, 55 tahun, dan Cik Marliny Abdul Samad, 52 tahun, masing-masing mencabar diri dengan acara sukan lasak yang menguji kekuatan fizikal dan ketahanan mental.
Namun, di sebalik setiap aktiviti terdapat perjalanan peribadi yang mendalam, dibentuk oleh pengalaman hidup, rintangan dan detik-detik menguji diri.
Bagi Cik Marliny, beliau yang aktif sejak muda sering mencabar dirinya dengan menyertai sekurang-kurangnya 10 acara sukan dalam setahun.
Pada 2025 sahaja ibu kepada seorang anak perempuan yang bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat binaan itu telah menyertai sebanyak 18 acara dan telah menamatkan acara Ironman jarak penuh pertamanya di Australia Barat, Busselton.
Selain dirinya, turut menyahut cabaran Ironman jarak separuh atau Ironman 70.3 yang merangkumi tiga acara – renang 1.9 kilometer (km), berbasikal 90km dan lari 21.1km – pada tahun yang sama ialah Encik Shamsuri A Rahman yang dahulunya mempunyai pelbagai risiko kesihatan dengan berat badannya ketika itu mencecah sehingga 122 kilogram (kg).
“Saya ingin mengubah gaya hidup saya ke arah yang lebih sihat. Hasil daripada dorongan keluarga dan rakan, saya bangga dapat mencabar diri dan menyertai acara maraton dan Ironman di umur yang begini,” kata bapa kepada seorang anak itu lagi.
Bagi pelakon dan penggiat seni, Rafaat, beliau bermula dengan aktiviti larian bagi membantu rutin tidurnya dan meningkatkan tenaga selepas mengalami keletihan berpanjangan pada 2018.
“Saya dicadangkan untuk mula berlari. Saya diberitahu, kalau badan penat, saya pasti boleh tidur dengan lebih baik,” katanya, kini berusia 60 tahun dan bapa enam anak.
Kini, beliau telah menamatkan acara Spartan dan Spartan Weekend Trifecta pada 2024, serta menamatkan kayuhan basikal secara santai sejauh 700 kilometer (km) selama sembilan hari di Thailand pada Disember 2025.
Meskipun ramai yang kian giat mencuba sukan lasak pada pertengahan usia, Perunding Kanan, Jabatan Kardiologi, di Pusat Jantung Universiti Nasional Singapura (NUHCS) Penolong Profesor Yeo Tee Joo, menegaskan bahawa individu berusia 50-an dan 60-an tahun perlu lebih berhati-hati sebelum memulakan senaman intensif.
“Ramai yang mempunyai penyakit sedia ada atau mengambil ubat jangka panjang, dan perubahan gaya hidup fizikal yang drastik boleh menimbulkan risiko seperti tekanan darah rendah atau paras gula yang turun secara mendadak akibat pengambilan ubat jangka panjang sebelum ini,” jelasnya.
Selain itu, risiko kardiovaskular meningkat dengan usia, maka saringan kesihatan dan penilaian faktor risiko adalah penting sebelum menyertai acara ketahanan yang berat.
“Ia adalah penting untuk mereka berunding dengan doktor bagi membincangkan kesesuaian senaman intensif sebelum memulakan aktiviti sedemikian,” katanya lagi.
Simptom seperti sakit dada, sesak nafas, pening, atau degupan jantung tidak normal tidak boleh diabaikan.
Namun, latihan yang teratur dan berperingkat adalah kunci bagi memastikan kesihatan terus terjamin, katanya.
“Pemanasan dan penyejukan badan, regangan otot, serta rehat yang mencukupi membantu mengurangkan risiko kecederaan otot dan sendi. Wanita berisiko osteoporosis harus menekankan latihan kekuatan, keseimbangan, dan fleksibiliti. Selain itu, penghidratan, pengurusan haba, dan pemulihan yang cukup menjadi semakin penting seiring bertambahnya usia.” tambahnya lagi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg