Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ustaz Fadhly Rosli teroka industri muzik sebar mesej dakwah

'Hanya Aku' ceritakan bagaimana nafsu, dugaan utama manusia, boleh membinasakan jika dituruti
Apr 9, 2023 | 5:30 AM
CUBA SESUATU YANG BARU: Ustaz Fadhly (tengah) bekerjasama dengan pemuzik tempatan Aide (kiri) dan Nurhakeem (kanan) untuk menghasilkan lagu 'Hanya Aku' yang turut dilengkapkan dengan muzik video yang dirakam di Taman Labrador. - Foto ihsan FADHLY ROSLI, TANGKAP LAYAR YOUTUBE
CUBA SESUATU YANG BARU: Ustaz Fadhly (tengah) bekerjasama dengan pemuzik tempatan Aide (kiri) dan Nurhakeem (kanan) untuk menghasilkan lagu 'Hanya Aku' yang turut dilengkapkan dengan muzik video yang dirakam di Taman Labrador. - Foto ihsan FADHLY ROSLI, TANGKAP LAYAR YOUTUBE -

DARIPADA perawat kaedah ruqyah ke 'podcaster' dan kini... Ustaz Fadhly Rosli menyanyi pula?

Baru-baru ini, Ustaz Fadhly, yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Khidmat Pendidikan At-Tabseer, bekerjasama dengan pemuzik tempatan, Aide Syahmi Ahmad Samin - juga dikenali sebagai itsdatboyinblvck - dalam sebuah lagu berjudul Hanya Aku.

Lagu tersebut, yang ditulis bersama, turut memaparkan seorang lagi pemuzik tempatan dikenali sebagai Nurhakeem.

Selain 'meminjamkan' suara untuk beberapa rangkap dalam lagu itu, Ustaz Fadhly juga muncul dalam muzik video Hanya Aku yang dilancarkan pada 24 Mac.

Menurut Ustaz Fadhly, niat untuk mencipta lagu sendiri sudah lama disimpan dan ini mendorongnya untuk menghampiri Aide bagi mengemukakan idea kolaborasi tersebut.

"Memang setiap tahun saya meletakkan beberapa matlamat baru untuk dicapai dan tahun ini salah satu matlamat saya - yang sebelum ini belum pernah dilakukan - adalah untuk buat lagu sendiri dan selitkan dakwah di dalamnya," katanya dalam temu ramah bersama Berita Minggu (BM).

Aide, yang telah menceburi bidang muzik sejak lima tahun lalu, berkata beliau gembira dan teruja apabila Ustaz Fadhly mengemukakan idea kolaborasi tersebut.

Menurutnya, beliau pernah bekerjasama dengan Ustaz Fadhly dalam beberapa projek, termasuk dalam program podcast, Diari Ruqyah UFR.

"Memang Ustaz Fadhly seorang yang saya kagumi dan merupakan contoh yang baik bagi saya.

"Jadi, bila dia temui saya untuk buat lagi ini, tentu saya cakap okey!" katanya.

Lagu dengan gabungan genre hip-hop, pop dan nasyid itu mengambil masa sekitar dua minggu untuk dihasilkan.

Menurut Aide, mesej utama yang ingin disampaikan melalui lagu tersebut adalah bagaimana nafsu merupakan dugaan utama bagi manusia dan ia boleh membinasakan jika dituruti.

"Sama ada dalam Ramadan atau tidak, nafsu merupakan cabaran paling besar bagi manusia.

"Jika kita serahkan kepada nafsu, memang mudah terpesong sebagai seorang Muslim.

"Walau bagaimanapun, Tuhan Maha Pengampun jadi tidak usah berhenti berharap apabila sesuatu berlaku tidak seperti yang dirancang, kita perlu belajar daripada kesilapan dan perbaiki diri, itu mesej yang ingin kami sampaikan melalui lagu ini," kata Aide.

Beliau menambah antara cabaran utama yang dihadapi semasa rakaman lagu adalah untuk mencari 'key' suara Ustaz Fadhly.

"Saya memang tak pernah dengar beliau menyanyi selama saya mengenali Ustaz," katanya berseloroh.

Muzik video bagi lagu tersebut dirakam dalam tempoh satu hari di Taman Labrador.

Cuaca hujan semasa hari rakaman tidak melenturkan semangat mereka untuk merakam.

Malah ia menambah 'feels' bagi muzik video tersebut, kata Ustaz Fadhly.

"Bila hujan semasa rakaman itu, agak sukar untuk mereka yang ambil video atau gambar, juruvideo perlu pakai payung dan lap-lap kamera yang digunakan.

"Tapi bila tengok balik rakaman, macam sesuai juga bila hujan 'masuk scene'," katanya sambil tertawa.

Lagu serta video tersebut disambut dengan baik sejauh ini dengan lebih dua ribu tontonan di YouTube sahaja.

Ustaz Fadhly berharap lagu tersebut dapat meninggalkan kesan dalam diri pendengar, terutama sekali golongan muda.

"Semua orang ada kesusahan dan cabaran masing-masing, semua ada perlawanan dengan hawa nafsu masing-masing, sama ada beliau seorang ustaz atau bukan, sama ada beliau muda atau tua.

"Tapi kita perlu cuba menjadi seseorang yang melawan dan mengawal hawa nafsu, bukan sebaliknya," menurut Ustaz.

Hanya Aku boleh dimuat turun melalui Spotify dan muzik videonya boleh ditonton di YouTube.

"Memang setiap tahun saya meletakkan beberapa matlamat baru untuk dicapai dan tahun ini salah satu matlamat saya - yang sebelum ini belum pernah dilakukan - adalah untuk buat lagu sendiri dan selitkan dakwah di dalamnya. ... Semua orang ada kesusahan dan cabaran masing-masing, semua ada perlawanan dengan hawa nafsu masing-masing, sama ada beliau seorang ustaz atau bukan, sama ada beliau muda atau tua. Tapi kita perlu cuba menjadi seseorang yang melawan dan mengawal hawa nafsu, bukan sebaliknya." - Ustaz Fadhly Rosli, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Khidmat Pendidikan At-Tabseer.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg