Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ustaz Hannan lepaskan jawatan Timbalan Mufti

Sep 8, 2025 | 5:35 PM
Ustaz Hannan, bekas Timbalan Mufti, Muis
Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan, 59 tahun, telah melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Mufti setelah lebih lima tahun menyandang tanggungjawab tersebut. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan, 59 tahun, telah melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Mufti setelah lebih lima tahun menyandang tanggungjawab tersebut.

Berita Harian (BH) difahamkan bahawa hari terakhirnya bersama Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) adalah 31 Julai.

Semasa berucap di Majlis Pelantikan dan Penghargaan Jawatankuasa Fatwa di HomeTeamNS Bedok Reservoir pada 8 September, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir menzahirkan penghargaannya ke atas sumbangan mantan Timbalan Mufti itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih khas kepada Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan, mantan Timbalan Mufti, di atas segala sumbangan beliau kepada perkembangan fatwa dan usaha-usaha Pejabat Mufti mendekati masyarakat.

“Walaupun Ustaz Hannan tidak lagi bersama Muis, beliau tetap akan terus memberi sumbangan selaku salah seorang ahli bersekutu kanan dalam Majlis Fatwa. Terima kasih Ustaz Hannan,” kata Dr Nazirudin.

Ustaz Dr Hannan dilantik sebagai Timbalan Mufti pada 1 Mac 2020, bersama Ustaz Dr Mohd Murat Md Aris, yang menyandang tanggungjawab yang sama.

Pelantikan beliau turut berlaku seiring dengan pelantikan Ustaz Dr Nazirudin, yang mengambil alih sebagai Mufti dari mantan Mufti, Dr Mohamad Fatris Bakaram.

Ketika ditanya BH tentang rancangannya selepas melepaskan jawatan sebagai Timbalan Mufti di Muis, Ustaz Dr Hannan berkata beliau ingin meneruskan minatnya dalam bidang penulisan dan penerbitan dengan lebih kerap lagi.

“Peluang ini agak terbatas sebelum ini. Ini termasuk melakukan kajian dan penelitian,” kata Ustaz Dr Hannan, sambil berkata beliau berharap dapat meneruskan usaha mengasah bakat dan prestasi asatizah dan kepimpinan masyarakat tempatan.

“Satu perkara yang dekat di hati saya, yang ingin saya lakukan ialah untuk membangun sumber kepimpinan melalui program-program latihan dan mentoring, dan ini tidak terbatas kepada masyarakat tempatan sahaja.”

Melangkah keluar dari Muis, Ustaz Dr Hannan berkata usaha mengukuhkan institusi dan kepimpinan agama seperti Muis dan masjid tempatan adalah penting, dan beliau berharap usaha itu dapat diteruskan.

Lebih daripada itu, beliau berkata adalah lebih penting juga untuk masyarakat “mengukuhkan perpaduan sosial yang berdiri atas prinsip-prinsip kemanusiaan”.

“Ketika dunia sedang bergolak dan di masa-masa susah waktu ini, kita perlu melabur dalam mengukuhkan prinsip-prinsip ini; menjelaskan dan membina kehidupan beragama atas dasar prinsip-prinsip ini.

“Proses menyemai benih-benih ini harus merentasi masyarakat dan negara sendiri dan saya harap dapat melakukannya dengan sisa-sisa umur yang saya ada ini,” kata Ustaz Dr Hannan

Pelantikan Ustaz Dr Hannan, serta Ustaz Mohd Murat dan Ustaz Dr Nazirudin, berlaku semasa pandemik Covid-19, di saat Singapura berdepan dengan krisis segenerasi yang menjejas kehidupan negara.

Di bawah kepimpinan mereka, masyarakat Melayu/Islam menyaksikan penutupan masjid-masjid serta perubahan kepada cara masjid menyelenggarakan solat fardu bagi memastikan jarak keselamatan dapat dipatuhi sedang jemaah berkumpul untuk beribadah.

Antaranya termasuk penangguhan haji dan memastikan kehidupan agama kekal kukuh di tengah cabaran Covid-19.

Sebagai Timbalan Mufti, peranan Ustaz Dr Hannan, antara lain, adalah menyelia pembangunan asatizah, menerajui pembangunan dan pelaksanaan Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS), sebagai Ketua Program.

Beliau juga bertanggungjawab melihat kepada program-program Kehidupan Beragama Masyarakat (CRL) melalui masjid-masjid. Ustaz Dr Hannan juga bertanggungjawab mengukuhkan perpaduan sosial (social cohesion) bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin agama.

Sebelum menggalas tanggungjawab itu, beliau pernah menyandang jawatan Timbalan Pengarah (Pembangunan Keupayaan) di Pejabat Mufti dan juga Naib Dekan Akademi Muis.

Beliau juga pernah mengetuai pembangunan Pusat Harmoni dan mempunyai pengalaman luas dalam hubungan antara agama.

Ustaz Dr Hannan menyertai Muis pada 1997 sebagai Pegawai Kanan di Jabatan Pendidikan Islam.

Beliau memiliki pengkhususan dalam Pendidikan Islam, hubungan Muslim-Yahudi, hubungan antara agama, sejarah dan falsafah undang-undang Islam serta Etika Islam.

Sejajar dengan bidang pengkhususannya, Dr Hannan terlibat secara aktif dalam dialog silang agama dan telah menyumbang kepada pelbagai mesyuarat antarabangsa berkenaan hubungan antara agama.

Beliau juga merupakan anggota lembaga International Abrahamic Forum (IAF) iaitu sebahagian daripada Majlis Antarabangsa Kristian dan Yahudi (ICCJ) yang berpusat di Frankfurt.

Dr Hannan memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari Kuwait dan Sarjana Kesusasteraan dalam Tamadun Islam dari Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac).

Beliau menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengajian Islam dari Universiti McGill, Canada.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg