Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ustaz Hasbi jelaskan antara cabaran Pergas jelang AGM

Selain isu LGBTQ, penolakan sesetengah anggota masyarakat terhadap bimbingan asatizah bertauliah juga satu cabaran, kata Presiden Pergas
Jun 23, 2023 | 2:55 PM
CABARAN BERDAKWAH: Presiden Pergas, Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, berkata kian ramai dalam kalangan masyarakat yang tidak mahu mendengar nasihat asatizah dan ulama, meskipun mereka tidak mempunyai ilmu luas dalam bidang tersebut.
CABARAN BERDAKWAH: Presiden Pergas, Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, berkata kian ramai dalam kalangan masyarakat yang tidak mahu mendengar nasihat asatizah dan ulama, meskipun mereka tidak mempunyai ilmu luas dalam bidang tersebut. - Foto fail

Sejak ditubuhkan pada 1957, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) telah berdepan dengan pelbagai cabaran dalam usaha menangani isu-isu berkaitan kemaslahatan masyarakat Melayu/Islam Singapura.

Ini termasuk isu pemakaian tudung bagi jururawat, isu lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ) dan juga isu berkaitan tarikh Hari Raya yang hangat dibincangkan sejak beberapa tahun ini.

Namun, satu isu yang semakin membimbangkan adalah kelakuan segelintir masyarakat yang sanggup menghina dan menolak bimbingan asatizah dan ulama bertauliah, meskipun mereka tidak mempunyai ilmu yang luas dalam perkara tersebut.

Demikian antara cabaran yang dihadapi Pergas, menurut presidennya, Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, ketika ditanya Berita Harian (BH).

“Antara cabaran yang dihadapi Pergas ialah lahirnya golongan yang merasakan mereka lebih tahu daripada golongan ulama yang terdahulu, kerana mereka mendapat banyak sokongan daripada pengikut atau ‘followers’ dan enggan menerima pandangan ulama yang lebih terdahulu, lebih berilmu dan lebih berpengalaman. Sehingga ada di antara mereka menolak pandangan ulama seperti Imam Ghazali dan yang seumpamanya,” kata Ustaz Hasbi.

Dalam menghuraikan isu-isu yang berpolarasi dan sensitif, amat penting bagi asatizah dan masyarakat berbincang dengan penuh adab dan rahmah, demi mengatasi cabaran kemasyarakatan.

Bagi asatizah baru, khususnya barisan kepimpinan baru Pergas, Ustaz Hasbi berkata amat penting juga bagi mereka membina daripada usaha asatizah dan ulama mapan, dan menggiatkan lagi usaha mendekati masyarakat untuk mengatasi cabaran yang pelbagai.

“Untuk menghadapi cabaran ini, saya berharap barisan kepimpinan baru dapat bekerjasama dengan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menerusi Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS); dengan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) menerusi kaunselor-kaunselor yang terdiri daripada asatizah; dan juga bekerjasama dengan badan Melayu/Islam yang lain,” ujar Ustaz Hasbi.

Pergas bakal mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya (AGM) pada 25 Jun. Selepas AGM tersebut, asatizah yang dipilih akan menjalankan tugas sebagai anggota barisan Majlis Tertinggi Pergas (MTP) bagi penggal 2023-2025.

Ketika ditanya BH pada Rabu, asatizah dan kakitangan Pergas enggan mengulas siapa yang akan bersaing bagi jawatankuasa eksekutif badan agama itu ataupun siapa yang bakal dicalonkan sebagai anggota baru.

Pada masa yang sama, tidak pasti juga sama ada Ustaz Hasbi akan meneruskan peranannya sebagai Presiden Pergas, peranan yang digalasnya sejak 2003. Beliau juga pengerusi bersama RRG, anggota Majlis Muis dan Jawatankuasa Fatwa Muis.

Semasa AGM 2021, Pergas menyaksikan buat julung-julung kalinya seorang ustazah, iaitu Ustazah Sukarti Asmoin, dipilih sebagai masyaikh Majlis Tertinggi Pergas.

Masyaikh ialah penasihat mapan yang berperanan memberikan nasihat dan panduan keagamaan dan kepimpinan agama yang dapat menyatupadukan ulama dan asatizah dalam menghadapi pelbagai cabaran pada masa ini.

Pergas juga telah membentangkan pelan strategik untuk mendekati masyarakat dengan lebih mendalam.

Ini termasuk menaik taraf program latihan dan pembangunan asatizah, menyediakan panduan agama berpandukan isu masa kini seperti keganasan rumah tangga dan kumpulan LGBTQ serta mengembangkan platform dakwah bersesuaian dengan arus teknologi yang semakin canggih.

Namun, isu seperti gaji dan tangga kerjaya asatizah masih banyak dibincangkan baru-baru ini, dan masih belum mendapat huraian yang tetap, lantas menjadi titik tumpuan utama bagi kepimpinan Pergas yang akan dilantik kelak.

“Antara cabaran yang dihadapi Pergas ialah lahirnya golongan yang merasakan mereka lebih tahu daripada golongan ulama yang terdahulu, kerana mereka mendapat banyak sokongan daripada pengikut atau ‘followers’ dan enggan menerima pandangan ulama yang lebih terdahulu, lebih berilmu dan lebih berpengalaman. Sehingga ada di antara mereka menolak pandangan ulama seperti Imam Ghazali dan yang seumpamanya.” 
Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).

Jawatankuasa Pergas 2021 - 2023

  1. Presiden: Ustaz Mohamad Hasbi Hassan
  2. Naib Presiden: Ustazah Kalthom Muhammad Isa
  3. Setiausaha Kehormat: Ustaz Mohammad Bahrul Ulum Buang
  4. Bendahari Kehormat: Ustazah Nur Khadijah Ramli
  5. Naib Setiausaha Kehormat: Ustaz Muhammad Hasyim Masnin
  6. Naib Bendahari Kehormat: Ustazah Nadia Hanim Abdul Rahman
  7. Anggota Kehormat: Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid
  8. Anggota Kehormat: Ustaz Muhd Nuzhan Abdul Halim
  9. Anggota Kehormat: Ustaz Fathurrahman Dawoed
  10. Anggota Kehormat: Ustazah Nurul ‘Izzah Khamsani
  11. Anggota Kehormat: Ustaz Izal Mustafa Kamar
  12. Anggota Kehormat: Ustazah Rohana Ithnin
  13. Anggota Kehormat: Ustazah Siti Nur ‘Alaniah Abdul Wahid
  14. Anggota Kehormat: Ustaz Mohamed Effendi Suparde

Masyaikh

  1. Ustazah Sukarti Asmoin (selaku jawatankuasa Pergas)
  2. Ustaz Pasuni Maulan
  3. Ustaz Mohamed Fatris Bakaram
  4. Ustaz Sallim Jasman
  5. Ustaz Abdul Manaf Rahmat
  6. Allahyarham Ustaz Ali Haji Mohamed (2021 hingga 17 Mac 2023)
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg