
USTAZ Muhammad Zahil Zakaria telah diundang menjadi imam solat tarawih di Dubai bersama para imam ternama dari Timur Tengah dan qari bersuara lunak yang tidak asing lagi di sini.
Beliau dijemput oleh kerajaan Amiriah Arab Bersatu (UAE) untuk bersama imam lain seperti Sheikh Mishary Rashid Alafasy, Sheikh Ra'ad Mohammad AlKurdi dan lain-lain imam antarabangsa dalam program Qurra' Ramadan.
Di bawah program itu, Ustaz Zahil akan mengimamkan solat tarawih dan qiamullail di beberapa masjid utama di Dubai seperti di Masjid Sheikh Rashid bin Saeed Al Maktoum, Sheikha Hind Bint Maktoum Bin Juma Al Maktoum dan beberapa masjid utama di Dubai.
Beliau akan berada di Dubai pada 17 April hingga 21 April - pada 10 malam terakhir Ramadan.
Ustaz Zahil yang bersuara mirip Sheikh Mishary itu berkata ia satu penghormatan besar ke atas asatizah Singapura untuk bersama nama-nama besar di Timur Tengah.
"Saya amat bersyukur dengan undangan ini kerana memberikan satu lagi peluang dan pendedahan antarabangsa.
"Insya-Allah saya akan memberikan yang terbaik untuk nama Singapura dan moga dimanfaatkan oleh warga Dubai,'' ujarnya.
Ustaz Zahil berkata beliau bersedia menghadapi perbezaan budaya dan tradisi di Dubai demi memberikan yang terbaik dalam mengimamkan solat di sana.
Beliau pasti terdapat sedikit perbezaan dari segi budaya tetapi pengalaman beliau semasa belajar di Jordan bakal membantu kerana beliau boleh berbahasa Arab dan mempunyai hafalan penuh Al-Quran.
Ustaz Zahil juga banyak menimba pengalaman di luar negara sebelum ini dengan memimpin solat tarawih di Malaysia di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz di Shah Alam, Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu dan beberapa masjid di Kedah.
Begitu juga Ustaz Zahil pernah diundang syarikat penerbitan Indonesia, Ammar TV, untuk menjelajah beberapa tempat seperti Turkey dan negeri Indonesia seperti Bali, Yogyakarta, Bandung bagi menyampaikan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg