Tujuh ustazah telah tampil untuk berkhidmat sebagai sumber rujukan atau ‘Resource Persons’ dalam program Bersamamu, sebahagian kerjasama terkini antara Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM) dengan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).
Kolaborasi terbaru itu, yang melibatkan asatizah wanita daripada Pergas, bertujuan menyediakan sokongan dan nasihat tambahan kepada isteri atau bakal isteri yang menghadapi isu berkaitan perkahwinan mereka, sebagaimana yang diumumkan pada 19 Jun oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Bagi merasmikan kerjasama ROMM dan Pergas itu, sebuah Memorandum Persefahaman (MOU) telah ditandatangani pada Isnin sebelum bermulanya Majlis Pelantikan dan Penghargaan Kadi/Naib Kadi 2023 di Hotel Crowne Plaza Changi Airport.
Diperkenalkan pada 2019, Bersamamu merupakan antara inisiatif di bawah Bidang Tumpuan 1 (FA1) M Kuasa Tiga (M³) – iaitu untuk menyokong perkahwinan, keibubapaan dan pendidikan awal kanak-kanak. Bidang tumpuan itu diterajui oleh Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Mengulas tentang perkembangan itu, Dr Faishal berkata program Bersamamu telah menerima maklum balas positif daripada pasangan dan ibu bapa mereka dan antara yang dicadangkan sebagai penambahbaikan kepada program tersebut ialah untuk mendapatkan kepakaran asatizah wanita agar mereka juga dapat menyumbang dalam hal ini.
“Mereka menyatakan bahawa ada perspektif yang sangat padat dan penting dari kaca mata wanita, mungkin asatizah wanita kita boleh berikan nasihat dan perspektif supaya kita boleh membangunkan perkahwinan yang kukuh,” ujar Dr Faishal.
Berkongsi lebih lanjut, Naib Presiden Pergas, Ustazah Kalthom Muhammad Isa, berkata para asatizah ini akan berperanan sebagai tempat rujukan melalui Asatizah Solace Care.
Asatizah Solace Care ditubuhkan pada 2020 untuk menangani masalah kekeluargaan yang dihadapi ketika pandemik Covid-19 .
“Kami rasa untuk membina keluarga, ada sudut yang mana asatizah wanita boleh menyumbang untuk membantu pasangan wanita yang mempunyai soalan tentang rumahtangga yang mungkin bersifat lebih peribadi di mana wanita lebih baik untuk menjawab soalan-soalan tersebut.
“Ini bukan bermakna golongan lelaki tidak mahir tetapi ada kalanya, mereka (pasangan wanita) lebih senang untuk berbincang dengan ustazah, jadi itu salah satu sokongan daripada pihak Pergas untuk membantu dari sudut itu,” kata Ustazah Kalthom.
Beliau akur adanya kumpulan atau sistem yang lebih tertumpu menangani isu-isu rumah tangga yang dihadapi kaum Hawa ialah sesuatu yang baik kerana saban hari, ramai wanita mengajukan soalan-soalan sedemikian kepada para asatizah.
Selain itu, ia juga dapat membantu meningkatkan ilmu, kemahiran dan kepakaran golongan asatizah dalam membantu masyarakat mengharungi cabaran kehidupan berumahtangga, katanya.
Dalam pada itu, enam kadi dan 36 naib kadi telah dilantik di Majlis Pelantikan dan Penghargaan Kadi/Naib Kadi 2023.
Encik Masagos, yang hadir sebagai tetamu terhormat majlis tersebut telah melahirkan rasa bangga terhadap pelantikan kesemua kadi dan naib kadi, serta mengucapkan terima kasih ke atas kerja keras serta komitmen mereka untuk membantu mengukuhkan keluarga Muslim di Singapura.
“
“Kami rasa untuk membina keluarga, ada sudut yang mana asatizah wanita boleh menyumbang untuk membantu pasangan wanita yang mempunyai soalan tentang rumahtangga yang mungkin bersifat lebih peribadi di mana wanita lebih baik untuk menjawab soalan-soalan tersebut.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg