PERKHIDMATAN media sosial yang mempunyai capaian yang ramai di Singapura perlu melaksanakan lebih banyak langkah bagi menghadkan pendedahan pengguna setempat kepada kandungan berbahaya.
Ini sebagai sebahagian daripada langkah di bawah Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian (Pindaan Bagi Hal-Hal Lain) atau Miscellaneous Amendments yang dibentangkan di Parlimen semalam.
Platform tersebut juga perlu menunjukkan kebertanggungjawapan kepada para pengguna mereka berhubung langkah tersebut.
Di bawah Rang Undang-Undang tersebut, Penguasa Pembangunan Media Infokom (IMDA) akan diperkasa untuk mengeluarkan arahan bagi menangani kandungan yang dianggap teruk sekiranya diakses pengguna setempat di wadah media sosial utama.
Arahan tersebut tidak akan dikeluarkan bagi perhubungan privet.
Kandungan teruk termasuk catatan yang memperjuangkan percubaan membunuh diri, mencederakan diri sendiri, eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak, pengganasan serta bahan yang menggalak ketegangan kaum atau agama atau mendedahkan risiko kepada kesihatan awam.
Rang Undang-Undang itu adalah tambahan baru kepada Akta Penyiaran, bertujuan mengawal selia perkhidmatan perhubungan dalam talian, termasuk firma media sosial utama seperti Facebook, Instagram dan TikTok.
Parlimen akan membahaskan Rang Undang-Undang itu di bacaan kedua, yang dijadualkan November ini.
Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) berkata Rang Undang-Undang itu timbul di sebalik penerimaan meluas bahawa perkhidmatan dalam talian mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pengguna mereka selamat daripada sebarang bahaya dalam talian.
"Sedang sesetengah perkhidmatan dalam talian telah berusaha menangani kandungan berbahaya, kelaziman kandungan dalam talian yang berbahaya kekal membimbangkan, memandangkan kadar tinggi penggunaan digital dan berleluasanya perkhidmatan dalam talian dalam kalangan pengguna Singapura, termasuk kanak-kanak," kata MCI dalam satu kenyataan.
Platform dengan pendekatan atau impak yang agak banyak di Singapura mungkin ditetapkan sebagai perkhidmatan perhubungan dalam talian yang dikawal selia, dan diperlukan untuk mematuhi draf Kod Amalan bagi Keselamatan Dalam Talian yang akan dikuat kuasa pada separuh kedua tahun depan.
Langkah-langkah yang disarankan di bawah kod draf itu menerima sokongan daripada orang ramai selepas konsultasi selama sebulan yang berakhir Ogos lalu.
Kod tersebut mungkin dikemas kini menyusuli konsultasi lanjut industri.
Di bawah kod itu, wadah dalam talian yang dikawal selia diperlukan mengenal pasti dan melaksanakan langkah-langkah bagi mencegah pengguna, terutamanya kanak-kanak di bawah usia 18 tahun, daripada mengakses kandungan merbahaya.
Langkah tersebut termasuk bahan-bahan yang membenarkan kanak-kanak atau ibu bapa mereka menguruskan keselamatan terhadap perkhidmatan tersebut.
Firma-firma itu juga perlu menyediakan panduan praktikal mengenai kandungan yang mendedahkan risiko kepada pengguna dan cara mudah bagi pengguna melaporkan kandungan berbahaya dan interaksi yang tidak diingini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg