Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Utamakan rutin keselamatan raih Anugerah Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja

Aug 12, 2024 | 6:30 PM
Encik Wassim Shah (kanan) antara 15 pemenang Anugerah Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) untuk Penyelia yang diraih semasa Anugerah Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH).  Menyampaikan anugerah ialah Encik Melvin Yong, Pengerusi Jawatankuasa Majlis WSH (Pendekatan dan Penjangkauan).
Encik Wassim Shah (kanan) antara 15 pemenang Anugerah Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) untuk Penyelia yang diraih semasa Anugerah Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH).  Menyampaikan anugerah ialah Encik Melvin Yong, Pengerusi Jawatankuasa Majlis WSH (Pendekatan dan Penjangkauan). - Foto WSH

Keselamatan adalah satu perkara yang sering dianggap remeh oleh kebanyakan orang. Namun, bagi Encik Wassim Hussain Shah, 30 tahun, keselamatan merupakan rutin penting di tempat kerjanya.

Sebagai ketua kumpulan produksi kanan di syarikat Halliburton Completion Tools Manufacturing & Technology, beliau memastikan rutin keselamatan harian atau Gamba Walks serta portal keselamatan di tempat kerja dipatuhi, satu usaha yang memperkasa pekerja supaya mengutamakan Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH).

Usaha beliau mendapat pengiktirafan dalam Majlis Anugerah WSH 2024 yang diadakan pada 30 Julai di Sands Grand Ballroom, yang menyaksikan Encik Wassim menerima Anugerah WSH untuk Penyelia.

Dalam satu interviu dengan Berita Harian (BH), Encik Wassim berkongsi pengalaman beliau memastikan aturan keselamatan untuk mencapai sasaran sifar kemalangan di tempat kerja.

“Saya perhatikan bahawa pekerja hanya lakukan protokol keselamatan kerana takut akan akibatnya. Jika pekerja faham akan kepentingan menjaga keselamatan dan tujuannya, ia secara semula jadi akan membuahkan hasil,” jelas beliau.

Menurut Encik Wassim, bapanya, seorang juruteknik dan sering berkongsi kepentingan keselamatan dalam kerjayanya, menjadi sumber inspirasi beliau.

“Kini, apabila saya menjadi penyelia, menjadi tanggungjawab saya untuk menjaga kakitangan saya dan memastikan mereka melaporkan diri di tempat kerja dan pulang dalam keadaan selamat,” tambah Encik Wassim.

Pada masa ini, Akta WSH, antara lain, meletakkan tanggungjawab kepada pihak berkepentingan bagi memastikan keselamatan di tempat kerja.

Jika disabit kesalahan melanggar undang-undang di bawah Akta WSH, syarikat boleh didenda sehingga $500,000.

Namun begitu, ada juga cabaran yang dihadapi sedang beliau berusaha memberi fokus kepada aspek keselamatan di tempat kerja.

“Dalam usaha menjadikan ini satu proses yang positif, kami gandingkan pekerja supaya mereka dapat menjaga satu sama lain,” kata Encik Wassim.

Dengan berbuat demikian dan menanam sikap bertanggungjawab, beliau dapat melihat perubahan positif dalam keselamatan di tempat kerjanya.

Di samping itu, Encik Wassim berusaha mengiktirafkan usaha kakitangan beliau.

Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, yang hadir dalam majlis tersebut, turut menekankan kepentingan mengekalkan kadar kematian di tempat kerja negara ini di bawah 1.0 bagi setiap 100,000 pekerja.

“Tiada siapa yang harus tercedera di tempat kerja, atau lebih teruk lagi, kehilangan nyawa mereka,” kata beliau dalam ucapannya.

Menurut beliau, Singapura telah mengekalkan prestasi WSH yang baik pada 2023, dengan kadar kematian tahunan sebanyak 1.0 pada separuh pertama tahun ini, dan menggesa agar langkah berjaga-jaga yang berterusan untuk mengukuhkan WSH.

Majlis itu turut dihadiri seramai 2,000 tetamu yang terdiri daripada penerima anugerah, penyokong, serta pemimpin industri dan rakan kongsi. Antara 323 pemenang, 15 menerima Anugerah Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) untuk Penyelia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg