VAKSINASI serata pulau yang dijalankan telah mencegah sekitar 8,000 kematian berpunca daripada Covid-19 pada kemuncak gelombang Delta tahun lalu.

Vaksin juga membantu Singapura mengelakkan daripada 33,000 kes teruk dan 112,000 kes dimasukkan ke hospital, jelas satu laporan mengenai kesan pelbagai langkah yang diperkenalkan pada masa Belanjawan 2020 dan 2021, untuk mengurangkan impak pandemik ini.

Angka ini adalah berdasarkan anggaran baru daripada Kementerian Kesihatan (MOH), yang diterbitkan pada Khamis (17 Februari) dalam laporan setebal 58 halaman oleh Kementerian Kewangan (MOF). Ia dikeluarkan di ambang kenyataan Belanjawan tahun ini yang akan disampaikan pada Jumaat (18 Februari).

Bagi mencapai rumusan ini, MOH mula melihat pada anggaran keberkesanan vaksin di Singapura.

Satu kajian tempatan mendapati golongan yang tidak divaksin lebih berkemungkinan mendapat virus ini daripada kontak isi rumah mereka yang dijangkiti, berbanding golongan divaksin. Dalam hal ini, vaksin adalah 56.4 peratus lebih berkesan dalam menentang jangkitan.

Pihak kementerian juga melihat pada perbezaan khusus berdasarkan usia dalam hasil di kalangan kes Covid-19 yang dilaporkan antara 1 Ogos dengan 31 Disember tahun lalu, ketika varian Delta koronavirus itu masih ketara.

Sebagai undang-undang umum, mereka yang tidak divaksin lebih berkemungkinan dirawat di hospital, membangun penyakit lebih serius atau meninggal, khususnya jika mereka lebih berusia.

Berpandukan perangkaan yang ada, MOH telah menjalankan simulasi angka kemasukan hospital, kes teruk dan kematian yang kemungkinan berlaku jika vaksin tidak tersedia.

Ia menganggarkan Singapura mungkin menyaksikan lebih seganda 198,361 kes Covid-19 yang sebenarnya dilaporkan sewaktu tempoh lima bulan antara Ogos dengan Disember 2021.

Singapura juga mungkin menyaksikan lapan kali kadar kemasukan hospital, hampir 12 kali bilangan kes teruk dan 11 kali angka kematian secara menyeluruh.

Laporan itu menambah program vaksinasi Singapura membantu negara ini mengekalkan kadar kematian pada tahap rendah sepanjang pandemik ini.

Sehingga 15 Februari, negara ini melihat kadar 16.7 kematian kerana Covid-19 bagi setiap 100,000 penduduk.

Ia sejajar dengan kadar bagi negara yang mempunyai jumlah vaksinasi sama banyak seperti Korea Selatan (14 kematian bagi setiap 100,000 penduduk) dan Jepun (16.5 kematian bagi setiap 100,000 penduduk).

Sebaliknya, di negara seperti Amerika Syarikat, kadar kematiannya agak tinggi iaitu 277 kematian bagi setiap 100,000 penduduk serta kadar vaksinasinya lebih rendah.