Topik diikuti
Pergi ke BHkuVaksin Covid-19 disertakan dalam jadual imunisasi nasional mulai 12 Okt
Lebih 600 klinik GP, kesemua poliklinik serta pasukan vaksinasi bergerak seluruh S’pura akan tawar vaksin dikemas kini
Vaksin Covid-19 disertakan dalam jadual imunisasi nasional mulai 12 Okt
Vaksinasi Covid-19 akan disertakan ke dalam Jadual Imunisasi Kanak-kanak Nasional (NCIS) dan Jadual Imunisasi Dewasa Nasional (NAIS) mulai 12 Oktober, sedang vaksin Covid-19 yang dikemas kini akan mula ditawarkan di lebih 600 klinik doktor umum (GP), semua poliklinik serta pasukan vaksinasi bergerak (MVT) di seluruh Singapura.
Langkah itu bertujuan memastikan vaksin Covid-19 kekal mudah diakses dan mampu diperoleh orang ramai, memandangkan virus itu dijangka terus menular dan boleh menyebabkan penyakit serius, khususnya dalam kalangan warga emas serta individu yang mudah terjejas kesihatannya.
Ini dinyatakan Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) dalam satu kenyataan bersama pada 7 Oktober.
Golongan yang disarankan mendapatkan vaksin di bawah NCIS dan NAIS ialah individu berusia 60 tahun ke atas, individu berusia enam bulan ke atas yang kesihatannya mudah terjejas, serta penghuni kemudahan penjagaan warga emas.
Pekerja penjagaan kesihatan serta mereka yang tinggal atau bekerja bersama individu yang mudah terjejas kesihatannya turut digalakkan untuk mendapatkan vaksin bagi membantu melindungi golongan tersebut.
Individu lain berusia enam bulan ke atas yang ingin mendapatkan vaksin Covid-19 juga boleh berbuat demikian dan boleh mendapatkan nasihat doktor mengenai manfaat vaksin berdasarkan keadaan masing-masing.
Bagi individu yang belum pernah menerima vaksin Covid-19, mereka yang berusia antara enam bulan hingga empat tahun perlu menerima dua dos dengan jarak lapan minggu.
Mereka yang berusia lima tahun ke atas pula memerlukan satu dos.
Bagi individu berusia enam bulan ke atas yang pernah menerima vaksin sebelum ini, dos tambahan disarankan kira-kira setahun, dan sekurang-kurangnya lima bulan, selepas dos terakhir.
Sementara itu, vaksin Covid-19 yang dikemas kini, XFG Moderna/Spikevax dan XFG Pfizer-BioNTech/Comirnaty, yang telah diluluskan Penguasa Sains Kesihatan (HSA), akan mula diberikan secara berperingkat.
Mulai 12 Oktober, vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty akan ditawarkan kepada individu berusia 12 tahun ke atas, manakala Moderna/Spikevax tersedia bagi individu berusia enam bulan ke atas.
Mulai 2 November, Pfizer-BioNTech/Comirnaty akan turut ditawarkan kepada kanak-kanak berusia enam bulan hingga 11 tahun.
Menurut kenyataan itu, vaksin yang dikemas kini memberikan perlindungan lebih baik terhadap varian Covid-19 masa kini dan yang baru muncul, dengan profil keselamatan yang setanding versi terdahulu.
Vaksinasi Covid-19 akan terus diberi subsidi sepenuhnya bagi warga Singapura, Penduduk Tetap (PR), pemegang Pas Jangka Panjang dan pemegang Pas Jangka Pendek di klinik GP CHAS yang mengambil bahagian, poliklinik dan lokasi MVT sehingga diberitahu kelak.
Tempahan di klinik GP boleh dibuat menerusi laman web vaksin.gov.sg/covid, manakala janji temu di poliklinik boleh dibuat melalui HealthHub.
Jadual terkini MVT pula boleh dirujuk menerusi laman web go.gov.sg/mvt-s.
Orang ramai, khususnya golongan yang disarankan, digalakkan untuk memastikan vaksinasi Covid-19 mereka dikemas kini bagi melindungi diri dan orang di sekeliling.