Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vaksin Covid-19 Sinopharm dari China bakal didapati di S'pura

HSA telah beri kebenaran import vaksin melalui rangka kerja Laluan Akses Khas (SAR)
Jul 29, 2021 | 5:30 AM
VAKSIN COVID-19 SINOPHARM: Vaksin dari China ini dijangka bakal ditawarkan di Singapura, menjadikannya vaksin yang keempat di sini, dalam usaha negara menaikkan kadar vaksinasi. - Foto REUTERS
VAKSIN COVID-19 SINOPHARM: Vaksin dari China ini dijangka bakal ditawarkan di Singapura, menjadikannya vaksin yang keempat di sini, dalam usaha negara menaikkan kadar vaksinasi. - Foto REUTERS -

VAKSIN Sinopharm dari China mungkin boleh ditawarkan di Singapura tidak lama lagi, dengan beberapa kumpulan penjagaan kesihatan privet mengorak langkah memperolehnya.

Ia dijangka menjadi vaksin Covid-19 yang keempat ditawarkan di sini, dengan negara ini berusaha menaikkan kadar vaksinasi, yang selanjutnya akan membolehkan sekatan bagi perhimpunan sosial dilonggarkan dan membantu dalam pemulihan ekonomi.

IHH Healthcare Singapore semalam memberitahu The Straits Times, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) telah memberikan kebenaran untuk mengimport vaksin Sinopharm menerusi rangka kerja Laluan Akses Khas (SAR).

"Ini akan memberikan penduduk di Singapura akses kepada satu lagi pilihan vaksin," kata Dr Noel Yeo, ketua pegawai eksekutif (CEO) kumpulan itu.

Secara berasingan, Raffles Medical Group telah menerbitkan pengumuman di Facebook dengan mengundang orang ramai supaya mendaftar bagi vaksin tersebut, yang menggunakan virus tidak aktif untuk memberikan perlindungan terhadap Covid-19.

Rangka kerja SAR membolehkan kumpulan jagaan kesihatan privet untuk membawa masuk vaksin Covid-19 yang telah diluluskan penggunaannya oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dalam masa kecemasan.

Ini termasuk vaksin dari China seperti Sinovac dan Sinopharm, serta vaksin yang dihasilkan oleh Johnson & Johnson dan Oxford-AstraZeneca.

Pihak berkuasa di sini juga telah menandatangani perjanjian pembelian awal untuk dengan syarikat bioteknologi Novavax dari Amerika Syarikat untuk membeli vaksin Covid-19 yang dihasilkan dari sejenis protein.

Bekalan vaksin Novavax itu dijangka tiba di sini sebelum penghujung tahun dan, jika diluluskan penggunaannya, akan disertakan dalam program vaksin nasional.

Berbeza daripada vaksin yang diberikan di bawah rangka kerja Laluan Akses Khas Pandemik (PSAR) - seperti vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna di bawah program vaksinasi nasional - pengguna vaksin di bawah SAR tidak diberikan subsidi pemerintah.

Mereka juga tidak akan dilindungi Program Bantuan Kewangan Kecederaan Vaksin, yang memberi sokongan kepada orang yang mengalami kesan teruk akibat suntikan vaksin Covid-19.

Buat masa ini, Singapura telah memvaksinasi 4.3 juta orang di bawah program vaksinasi nasional. Sekitar tiga suku kumpulan ini telah melengkapkan vaksinasi.

Sehingga Isnin lalu, kumpulan jagaan kesihatan di sini telah memberikan 89,047 dos vaksin Sinovac.

Vaksin Sinopharm diberikan dalam dua dos dengan jurang tiga hingga empat minggu antara dos.

Ia telah diluluskan bagi penggunaan mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas.

Menurut WHO, ujian fasa ketiga merangkumi berbilang negara menunjukkan vaksin itu 79 peratus berkesan dalam mengekang jangkitan bersimptom, dua minggu selepas dos kedua diberikan.

Ia juga berkata vaksin Sinopharm 79 peratus berkesan membantu pesakit mengelak dimasukkan ke hospital.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg